top of page
  • newsatmy

Penangguhan sesi persekolahan 20 Januari ini

17 Januari 2021


Menerusi satu kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mengumumkan penangguhan sesi persekolah yang dijadualkan pada 20 Januari ini berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.


Dalam kenyataan itu, KPM memaklumkan sesi persekolahan bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.


“Semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021.


“Guru yang terlibat dengan kelas peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka. Guru lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan yang ditetapkan oleh ketua jabatan,” jelas kenyataan itu.


Bagi pelajar Kolej Matrikulasi, mereka perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid, kata kenyataan itu lagi. Sementara itu, semua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus.


“Pelajar yang masih belum mendaftar di asrama boleh memilih untuk tinggal di asrama atau kekal berada di rumah masing-masing. PdP untuk semua pelajar IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai 17 Januari 2021. Perincian berkaitan pelaksanaan praktikum dan internship IPG akan dimaklumkan kelak.


“Pada masa yang sama semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka,” katanya.


KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.


“KPM sentiasa komited membantu usaha kerajaan dalam melandaikan keluk penularan wabak COVID-19.


Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Malaysia merekodkan kes COVID-19 harian paling tinggi apabila sejumlah 4,029 kes positif dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

bottom of page