• newsatmy

Penarafan Malaysia mungkin disemak kepada unjuran 'stabil' daripada 'negatif' - Standard and Poor's

18 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Pengarah Penarafan Kewangan Negara dan Awam Antarabangsa, Andrew Wood berkata penarafan itu akan dibuat sekiranya ekonomi Malaysia berkembang lebih pesat (berbanding jangkaannya) selain mencatatkan prestasi fiskal lebih kukuh yang secara pantas membawa kepada kedudukan kewangan kerajaan yang lebih baik.


Beliau berkata pihaknya turut mengunjurkan ekonomi negara ini mengalami pemulihan lebih kukuh dengan merekodkan pertumbuhan 7.5 peratus tahun ini selepas mengalami penguncupan 5.6 perattus pada 2020 berikutan pandemik COVID-19.


Beliau berkata agensi penarafan itu juga menjangkakan Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.2 peratus tahun depan dan 4.6 peratus pada 2023.


Wood berkata setiap negara di dunia mengalami kemerosotan ekonomi dan Malaysia tidak terkecuali.


Beliau berkata keadaan itu mendorong defisit fisikal yang lebih tinggi iaitu sekitar enam peratus kepada KDNK 2020, berbanding angka lazim.


"Tahun ini, kami menjangkakan defisit fiskal lebih rendah di atas 5.5 peratus daripada KDNK," katanya.


Beliau berkata pihaknya menjangkakan hutang kerajaan Malaysia kepada KDNK tidak akan berkurangan di bawah 60 peratus dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.


"Penarafan kami bagaimanapun berdepan tekanan sekiranya pertumbuhan ekonomi mengalami kemerosotan lebih buruk atau berlanjutan berbanding jangkaan kami, atau jika kami mendapati komitmen lebih lemah terhadap pengukuhan fiskal, satu daripada faktor itu boleh menyebabkan peningkatan hutang kerajaan keseluruhan bersih lebih pantas," katanya.


Beliau berkata tekanan penarafan menurun juga akan wujud jika perubahan hutang kerajaan keseluruhan bersih tahunan melebihi empat peratus secara berterusan, atau faedah yang dibayar oleh kerajaan melebihi 15 peratus daripada hasil.


Tekanan penarafan menurun juga boleh berlaku sekiranya wujud kemerosotan kestabilan politik sehingga penetapan dasar menjadi sukar untuk dijangkakan, katanya.


Penarafan negara di Asia-Pasifik secara amnya terus berada di antara 'BBB' dengan 'BBB+', jelas agensi itu.


Ia menjelaskan pencepatan berterusan pertumbuhan KDNK sebenar China memberi kelegaan kepada rantau ini.


Eksport yang semakin meningkat ke China adalah manfaat yang paling cepat diraih oleh negara-negara susulan pemulihan ekonomi negara itu, menurutnya.


"Sama penting, ia merupakan bukti bahawa langkah sukar yang dilaksanakan kerajaan di negara-negara rantau ini untuk mengekang pandemik membawa manfaat ekonomi yang amat bermakna.


"Ini adalah kewajaran terhadap penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka yang masih dikuatkuasakan dalam kalangan penduduk yang mulai rimas dengan prosedur ini," jelasnya.


-- BERNAMA


Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.