top of page
  • admin

Pendekatan pentadbiran cermat, harmoni PN Perlis


KANGAR 14 Mac: Pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri Perlis terus berjalan lancar menerusi pendekatan cermat dan harmoni yang diterajui oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli. Berdasarkan pengalaman dari tiga buah negeri terdiri daripada Kelantan, Terengganu dan Kedah, kerajaan negeri Perlis mengambil langkah yang lebih cermat tanpa tindakan yang drastik.


Mohd Shukri berkata, antara langkah yang diambil adalah dengan memastikan saluran aduan rakyat terus berjalan.

“Dalam tempoh 100 hari peralihan, melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR), secara purata 319 aduan telah direkodkan, yang mana hampir 40 peratus dari jumlah aduan ini berjaya diselesaikan dalam tempoh tersebut.

“Bagi isu pentadbiran, kerajaan negeri juga memastikan untuk sentiasa menghormati profesionalisme penjawat awam tanpa campur tangan politik yang keterlaluan,” katanya.

Menurut beliau lagi, dalam tempoh itu juga, pihak kerajaan negeri sentiasa menggiatkan sesi libat urus dengan pelbagai pihak.

“Layanan yang diberikan secara sama rata bagi memastikan rakyat negeri ini sentiasa mendapat manfaat dan disalurkan terus kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk juga daripada ADUN pembangkang.

“Alhamdulillah, kita juga berjaya menarik pelaburan baru bernilai RM318 juta melibatkan tiga buah projek,” jelasnya.


Dalam pada itu, ujar beliau, untuk maklumat tambahan, terdapat empat buah pelaburan lagi yang belum dimuktamadkan nilainya.

“Kita juga menekankan pembukaan semula Zon Aliran Bebas Wang Kelian yang kini berada di fasa akhir proses rundingan dengan kerajaan Thailand.

“Di samping itu, agenda buat golongan wanita serta penjaja dan peniaga kecil turut tidak diabaikan,” katanya.


Tambah Mohd Shukri, banyak lagi inisiatif yang telah dirangka dan akan dilaksanakan melepasi 100 hari melibatkan pertanian, pelancongan, kediaman dan lain-lain.


Pentadbiran PN juga menerapkan gaya pentadbiran yang bersifat cermat dan mendidik rakyat berbanding melakukan perubahan berskala besar secara drastik.

“Ini adalah penting bagi mengekalkan suasana Perlis yang aman sentosa dan harmoni.

“Konsep menerang sesuatu isu telah dijadikan keutamaan supaya kefahaman dapat dibentuk di minda dan seterusnya melahirkan rakyat yang berilmu, bukan sekadar mengikut tanpa memahami tujuan sesuatu perkara itu dilakukan,” katanya.

bottom of page