top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Penduduk DUN Bemban berdepan masalah internet dan banjir

9 NOVEMBER 2021

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri, merangkap Pengarah jentera Pilihan Raya PN negeri yang juga calon PN Bemban, Dr Yadzil Yaakub mengakui berdepan cabaran masalah capaian internet lemah di beberapa kawasan negeri ini dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Menurutnya, situasi itu akan memberikan sedikit rintangan kepada calon baharu parti berkenaan untuk memperkenalkan diri mereka di kawasan masing-masing.


Namun begitu beliau yakin dan percaya pendekatan yang akan dilakukan PN sepanjang tempoh berkempen ini dapat dilalui dengan jayanya selain calon perlu berfikiran luar kotak dan lebih kreatif untuk mendekati rakyat.


"Masalah capaian internet lemah ini memang jadi satu masalah kepada calon kita untuk berkempen di kawasan masing-masing, contohnya di Jasin, hampir keseluruhan kawasan daerah itu ada masalah berkenaan.


"Walaupun begitu, calon-calon kita perlu ambil pendekatan yang terbaik untuk mendekati pengundi dengan mengutamakan penjarakan fizikal," katanya.


Sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, beliau mahu memberikan fokus utama kepada masalah banjir yang sering kali berlaku terutama di kawasan Jasin Bestari.


"Di kawasan DUN Bemban ada banyak isu, tetapi yang ketara adalah masalah banjir di mana tahun ini sahaja telah dua, tiga kali berlaku.


"Bagi saya, masalah ini perlu diambil perhatian oleh sesiapa sahaja yang terpilih sebagai wakil rakyat agar kejadian banjir tidak berulang lagi," katanya.



bottom of page