• Mohamed Nizam Hassan

Penduduk Johor bimbang PKP 2.0 gagal

30 Januari 2021

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikhuatiri akan gagal ekoran angka yang direkodkan kian meningkat di beberapa negeri termasuk di Johor.


Seorang pemandu teksi, K. Kumaravell memberitahu, meskipun PKP penuh akan memberi kesan kepada rakyat namun ia harus dilaksanakan demi kesejahteraan semua.


"Kerajaan seharusnya mempertimbangkan untuk melaksanakan PKP seperti yang dilaksanakan pada tahun lalu sekurang-kurangnya untuk satu tempoh yang singkat," katanya.


Sementara itu, Brian Tan Chong Beng pula berpendapat perlunya pelaksanaan PKP 2.0 diperketatkan terutama dari aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).


"Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengetatkan pelaksanaan rentas negeri dan daerah seperti PKP 1.0 memadangkan Tahun Baharu Cina akan menjelang tidak lama lagi.


"Saya merayu kepada kerajaan supaya mengambil langkah drastik secepat mungkin, pastikan semua pusat beli belah dan kilang ditutup sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu," tambahnya.


Bagi Ridhwan Osman pula, dia mengharapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)di Johor supaya tidak menutup sebelah mata terhadap mana-mana kilang yang dipercayai beroperasi walaupun tidak dibenarkan.


"Kita mendapati pelaksanaan kali ini kurang berkesan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengambil t]ndakan tegas terutamanya di lokaliti yang wujudnya kluster tempat kerja.


"PBT seharusnya perlu bertindak tegas di mana kita boleh lihat majikan tidak mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal. Tindakan tegas termasuk kompaun yang tinggi perlu dikuat kuasa," jelasnya lagi.


Johor merupakan negeri keempat tertinggi dengan kes COVID-19 apabila merekodkan sejumlah 19,746 kes setakat semalam.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.