top of page
Writer's pictureArissa Azman

Pengasuh ditahan kerana disyaki menampar bayi

16 Januari 2022

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita kerana disyaki menampar bayi lelaki berusia lapan bulan dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Tasik Permaisuri Cheras di sini pada Rabu.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Undang-undang) Kuala Lumpur ACP Kamaruzaman Elias berkata, wanita itu, 48, yang merupakan pengasuh mangsa, ditahan selepas ibu bayi itu, 25, membuat laporan mengenai kejadian itu pada 11.29 malam hari sama.


Menurutnya, wanita itu mendakwa pipi kanan anak bongsunya merah ketika mengambilnya dari rumah pengasuh.


“Siasatan mendapati pengasuh itu mengaku secara tidak sengaja menampar pipi mangsa ketika berada dalam buaian selepas didakwa muntah-muntah.


“Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil dan kita sedang menunggu laporan perubatan penuh terhadap mangsa sebelum merujuk perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka dan kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes penderaan kanak-kanak yang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.


Kamaruzaman menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, berkongsi atau menyebarkan berita daripada sumber tidak sahih yang mungkin mengganggu siasatan polis.

Comments


bottom of page