top of page
  • newsatmy

Pengecualian sertai Olimpik, KBS masih tunggu makluman rasmi

9 Jun 2021

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengambil maklum berkenaan dengan laporan media 10 buah negara yang berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai temasya Olimpik Tokyo 2020 termasuk Malaysia.


Justeru itu, katanya, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) telah diarah untuk berhubung dan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat terperinci mengenai perkara tersebut.


Pihaknya dalam masa yang sama akan terus berhubung dengan pihak Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jepun bagi mendapatkan sebarang perkembangan lanjut berkenaan dengan temasya sukan terbesar dunia itu.


"Perkara ini berkait dengan senarai 159 buah negara yang dihalang daripada memasuki Jepun seperti mana siaran pemakluman oleh Kementerian Luar Negeri Jepun.


"Siaran pemakluman tersebut juga turut menyentuh pengecualian yang boleh diberikan kepada beberapa kategori rakyat asing termasuklah “athletes and other persons concerned with Olympic and Paralympic Games Tokyo 2020," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.


Dalam pada itu, Reezal Merican memberi jaminan momentum persiapan atlet negara dalam menghadapi sukan itu berada pada tahap yang baik termasuk persediaan latihan fizikal dan mental.


"Di samping persiapan terbaik untuk atlet, KBS akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih serta pegawai yang terlibat sebagai keutamaan.


"Sebarang perkembangan terkini berkenaan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," tambahnya.


Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan berlangsung pada 23 Julai sehingga 8 Aug 2021.


bottom of page