top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pengemis kanak-kanak Rohingya: Pihak berkuasa siasat kemungkinan penglibatan sindiket

6 Januari 2022

ALOR SETAR: Polis akan menyiasat kemungkinan penglibatan sindiket di belakang kanak-kanak Rohingya yang ditemui mengemis di persimpangan sibuk di negara ini.


Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata polis akan meneliti semua kemungkinan semasa membanteras kegiatan tersebut.


“Kita akan meneliti semua sudut yang mungkin termasuk sama ada sindiket berada di sebalik kegiatan (mengemis) itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis Kedah di sini hari ini.


Terdahulu, Razarudin menyaksikan majlis penyerahan tugas ketua polis negeri oleh Datuk Kamarul Zaman Mamat kepada penggantinya Timbalan Pesuruhjaya Wan Hassan Wan Ahmad.


Kamarul Zaman akan memegang jawatan sebagai ketua polis Johor yang baharu manakala Wan Hassan sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard polis Persekutuan.


Sementara itu, Razarudin menambah bahawa semua ibu pejabat polis daerah akan diarah meningkatkan pengawasan terhadap kanak-kanak Rohingya yang terlibat dalam kegiatan mengemis.


“Aktiviti ini biasa dilakukan di persimpangan lampu isyarat yang sibuk di bandar-bandar utama seperti Lembah Klang dan Negri Sembilan melibatkan kanak-kanak malah orang dewasa,” katanya.


Razarudin mengingatkan warga asing bahawa polis boleh mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Akta Kesalahan Kecil terhadap mereka yang menghalang lalu lintas.


Beliau juga berkata warga asing juga tertakluk kepada undang-undang domestik selagi mereka berada di negara ini.


Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata polis mempunyai kuasa untuk menangkap atau mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara termasuk pendatang dan pelarian.


"Ini terpakai kepada semua warganegara Malaysia, penduduk atau pendatang, termasuk pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," kata Hamzah dalam catatan Facebook.


Beberapa hari lalu, video dua kanak-kanak Rohingya kelihatan menakutkan pengguna jalan raya ketika meminta sumbangan di persimpangan lampu isyarat di Cheras, Kuala Lumpur, menjadi viral.


Kanak-kanak lelaki itu dilihat menghentak ringan tangannya ke cermin kereta, sambil memegang wang di sebelah tangannya.


Video itu mendapat reaksi pelbagai daripada pengguna media sosial, kebanyakannya mengkritik pendekatan agresif budak itu.

Comentarios


bottom of page