top of page
newsatmy

Pengurangan pengeluaran, punca minyak masak dibungkus semula kurang - DAP Sarawak

12 April 2021


KUCHING: Pengurangan pengeluaran minyak masak yang dibungkus semula oleh beberapa syarikat dipilih menyebabkan bekalan minyak masak satu kilogram bersubsidi berkurangan di pasaran.


Demikian dakwaan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen yang menambah syarikat-syarikat berkenaan telah menerima sudsidi kerajaan bagi tujuan tersebut.


Kerajaan katanya telah memperuntukkan RM400 juta bagi Program Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) pada tahun ini yang bertujuan untuk membolehkan golongan kurang berkemampuan dapat membeli minyak masak bersubdisi pada harga RM2.50 sekilogram.


Malah kata Ahli Parlimen Stampin itu, di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, RM720 juta diperuntukkan bagi tahun 2018 dan RM600 juta pada 2019 bagi tujuan sama.


“Setiap tahun, kerajaan menyediakan peruntukan bagi mengekalkan harga minyak masak bersubsidi RM2.50 (bagi setiap 1kg). Peruntukan untuk tahun ini RM400 juta dan RM400 juta untuk tahun 2020.


“Ketika PH (Pakatan Harapan) menjadi kerajaan, RM720 juta diperuntukkan bagi tahun 2018 dan RM600 juta pada 2019.


“Ketika itu, kita memastikan semua jumlah untuk pembungkusan minyak masak bersubsidi tetapi kebelakangan ini, saya dapati kekurangan sangat ketara bekalan minyak masak ini di pasaran,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook pada Ahad.


Beliau turut mendakwa terdapat segelintir syarikat yang membungkus minyak masak tersebut melakukan tuntutan subsidi berlebihan atau mengurangkan pengeluaran.


Mengulas lanjut dakwaan itu, kata ADUN Kota Sentosa juga berkata pembungkusan semula sepatutnya mengeluarkan 1,500 paket minyak masak sekilogram tetapi mereka hanya mengeluarkan 1,000 paket tetapi masih menuntut jumlah subsidi untuk 1,500kg.



“Semasa kerajaan PH, sangat jarang minyak masak 1kg tidak ada di pasaran namun selepas PH tidak lagi menjadi kerajaan, hampir setiap masa sukar untuk mendapatkannya,” jelas Chong yang turut percaya berlakunya sistem yang tidak telus dalam pengurusan perkara itu.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut meminta kementerian melaksanakan penguatkuasaan ketat terhadap perkara itu bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi stabil.


Ia termasuk mengemaskini rekod pembekalan kepada peruncit agar pemeriksaan lanjut dapat dijalankan oleh pihak KPDNHEP. -Astro AWANI


Comments


bottom of page