top of page
  • zaman

Pengurangan subsidi berisiko naikkan inflasi


KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat langkah kerajaan mengurangkan jumlah subsidi daripada RM80 bilion kepada RM64 bilion melalui Belanjawan 2023 bakal menyebabkan kenaikan kadar inflasi mendadak tahun ini.


Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, walaupun proses pemulihan ekonomi menunjukkan momentum positif, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif supaya bantuan dalam bentuk subsidi dapat disalurkan segera secara efektif kepada golongan yang memerlukan.

“Subsidi adalah bantuan kewangan, bukannya satu bentuk insentif kerajaan.

“Adakah kerajaan telah pun menilai dan mengenal pasti kesan terhadap pengurangan (subsidi) ini?” katanya ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat .


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui belanjawan 2023 berkata, kerajaan tahun ini menyediakan sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif.


Sejumlah besar dana ini adalah untuk meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan memberi perkhidmatan kepada rakyat terbanyak.


Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan subsidi kerajaan wajar memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan, sementara golongan berkemampuan pula dapat bersama-sama menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan kemajuan ekonomi negara.

“Subsidi diberikan kerajaan kepada rakyat ternyata dapat meringankan beban mereka, tetapi ia seharusnya dilakukan secara bersasar.

“Iltizam kerajaan hari ini untuk mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar, namun saya lihat masih tiada mekanisme yang kukuh dalam aspek pelaksanaannya,” tambah beliau.

bottom of page