• newsatmy

Pengusaha F&B gesa kerajaan benarkan 'dine-in', dua pelanggan satu meja

11 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia Food and Beverage Executives Association menegaskan, keputusan kerajaan tidak membenarkan makan di restoran atau 'dine-in' semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai tindakan yang tidak wajar.


Sebaliknya, kata Presidennya, Muhammad Hisham Tan Abdullah, kerajaan sepatutnya memberi kebenaran 'dine-in' dengan mengehadkan dua pelanggan bagi setiap meja.


Jelas Muhammad Hisham, perkara itu penting berikutan tidak semua restoran dan premis makanan sesuai untuk melaksanakan kaedah secara penghantaran.


Malah katanya, langkah mengehadkan dua pelanggan secara dine-in pernah dilaksanakan semasa PKP tahun lalu.


"Tidak wajar keputusan pembatalan bagi pelanggan dine-in yang menyebabkan lebih banyak perniagaan yang akan tutup dan lebih ramai rakyat Malaysia hilang pekerjaan dan sebagainya.


"Tidak semua F&B sesuai untuk delivery terutama keputusan ini dibuat tanpa diambil kira secara menyeluruh penyudahannya.


"Seeloknya premis F&B dibenar dine-in dengan mengehadkan dua orang pelanggan setiap meja dengan penjarakan dua meter, seperti tahun 2020, ia perlu dilaksanakan semula pada bulan ini," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.


Bagaimanapun beliau juga mengesyorkan operasi waktu perniagaan dihadkan sehingga 9 atau 10 malam sahaja mengikut konsep restoran dan premis makanan.


Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospitality Asia (HAPA) Jennifer Ong, menyifatkan langkah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan tanpa perbincangan dengan pihak indusri makanan dan minuman.


Pada masa sama katanya, langkah yang diambil tidak konsisten dan melaksanakan suatu keputusan secara suka-suka atau pada saat-saat akhir.


"Tak ada langsung apa-apa bicara dan sesi dialog antara kerajaan dan industri F&B. Ini yang selalu yang membangkitkan banyak masalah sebab jika tiada perbincangan, kerajaan juga tidak tahu apakah kemungkinan berlaku sebab jika tengok kepada kepada pengumuman PKP, semua restoran sudah beli barang sebab Hari Ibu, Hari Raya lagi," katanya lagi.


Malah, beliau turut mempertikai tindakan yang banyak menumpukan penguatkuasaan larangan operasi dine-in kepada premis makanan, sedangkan sektor-sektor lain masih dibuka semasa PKP.


"Jadi kerugian dia sangat-sangat besar. Jadi kalau tak dibenarkan dine-in, apa perasaan pengusaha F&B yang marah dan kecewa sebab bila kerajaan cakap PKP, mesti semua 'lockdown', tak kira kilang ke, apa ke, itu baru adil.


"Namun kalau cakap dine-in itu tidak boleh, dua orang semeja tak boleh, tetapi sektor kilang boleh, sektor pembinaan boleh, bazar Ramadan boleh, LRT boleh jalan. Ini tiada makna dan tidak masuk akal," tegasnya.


Jelasnya, tindakan kerajaan yang "stop and go" secara berulang kepada industri makanan dan minuman juga menjejaskan aliran tunai serta pekerja-pekerja.


-Astro Awani