top of page
  • Farah

Pengusaha kantin menzahirkan rasa berterima kasih atas keprihatinan semasa KPM PN


PUTRA JAYA 28 Feb:Usaha dan ikhtiar berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membantu pengusaha kantin di seluruh negara ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) dihargai dalam satu pertemuan dengan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, semalam.


Ahli Parlimen Putrajaya itu menceritakan lebih 50 pengusaha kantin seluruh negara, termasuk Perlis, Kedah dan Johor bertemu beliau semalam (27 Februari 2023) untuk mencahirkan rasa terima kasih kepada PN.


Menurutnya kehadiran mereka mengingatkan kembali liku-liku perjalanan ketika beliau di KPM pada permulaan pandemik Covid-19 yang menyebabkan sekolah terpaksa ditutup, tetapi akhirnya berjaya ditangani hingga menemukan ‘cahaya di hujung terowong’.

“Selesai sidang Parlimen tadi, bergegas balik ke Putrajaya bagi menyantuni dan menerima kunjungan lebih 50 orang pengusaha kantin dari pelbagai negeri . Ada yang datang dari Kedah, Perlis, malah ada juga dari Johor.


“Niat mereka untuk menzahirkan rasa berterima kasih atas keprihatinan KPM melaksanakan pelbagai usaha membantu pengusaha kantin bertahan dan kembali pulih pasca pandemik Covid-19.

“Bagi mereka, usaha dan ikhtiar berterusan KPM untuk membantu pengusaha-pengusaha kantin ini semasa pemerintahan Perikatan Nasional sesungguhnya satu inisiatif PN yang amat baik.

“Saya amat tersentuh dengan penghargaan yang diberikan. Setiap pendekatan yang kami laksanakan, bukan populariti serta pujian yang diharapkan tetapi kami mahu pastikan ekosistem pendidikan termasuk pengusaha kantin dan pekerja turut terpelihara.

“Kehadiran saudara-saudari pada hari ini, mengingatkan kembali liku-liku perjalanan ketika saya di KPM pada permulaan pandemik COVID-19. Tempoh yang paling sukar untuk semua orang. Namun kita telah berjaya menempuh saat genting itu. Akhirnya kita jumpa cahaya dihujung terowong,” katanya.


Dr Radzi berkata ketika berada di KPM sebelum ini, PN secara berterusan memperjuangkan nasib pengusaha kantin, termasuk berusaha memberi moratorium kepada pengusaha kantin di seluruh Malaysia.

“Kami (PN) juga berjaya meningkatkan kadar harga Rancangan Makanan Tambahan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung. Manakala daripada RM3 kepada RM4 untuk Sabah dan Sarawak.

“Saya dimaklumkan, kehadiran mereka pada hari ini di Putrajaya adalah untuk menghantar memorandum kepada KPM. Insya-Allah saya akan bangkitkan isu-isu yang saudara-saudari suarakan ini di Dewan Rakyat nanti,” katanya.

bottom of page