Penikahan Megat dan Nik Nuralia, Sheila Majid sambut menantu sulung!
14 Februari 2022
KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, Megat Abdul Majid Aziz Roslan, anak lelaki penyanyi tersohor negara, Datuk Sheila Majid sah menjadi suami kepada suri hatinya, Nik Nuralia Dato' Nik Fauzi dalam satu majlis tertutup patuh prosedur operasi standard (SOP) di Sime Darby Convention Centre, di ibu negara pada kira-kira jam 10 pagi, Ahad.
Pasangan merpati dua sejoli itu selamat diijabkabulkan bapa kandung Nik Nuralia, Dato' Nik Fauzi Tan Sri Dr Nik Hussein.
Menerusi kemas kini di Instagram, Sheila, memuat naik beberapa keping gambar dan video majlis resepsi di dewan dihias indah dengan orkid putih.
Megat, menghadiahkan sembilan dulang hantaran dan berbalas tujuh dulang daripada pengantin perempuan.
Pasangan itu sebelum ini mengikat tali pertunangan pada Disember 2020.
Difahamkan, majlis pernikahan mereka terpaksa ditangguhkan beberapa kali, malah pasangan itu juga diduga apabila disahkan positif COVID-19, baru-baru ini.
Majlis pernikahan berlangsung sederhana dan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua pasangan dan rakan-rakan rapat.
Menurut Sheila, beliau amat teruja dan gembira menerima menantu dan harapannya sebagai seorang ibu agar pasangan ini sentiasa bersatu dan bersepakat dalam segala aspek rumahtangga.
"Saya juga berdoa agar Megat dan Nik Nuralia sentiasa dirahmati dan dibimbing Allah S.W.T. Semoga ikatan ini diberkati dan berjaya di dunia dan akhirat," kata Sheila, yang anggun memakai kebaya tradisional hijau pada majlis bersejarah itu.
Megat, merupakan anak kedua Sheila daripada perkahwinan pertamanya dengan penerbit dan produser, Roslan Aziz.
Perkahwinan kedua Sheila bersama pengarah dan penggubah muzik, Datuk Hashridz Murshim Hassim (atau lebih popular dengan panggilan Acis), mereka dikurniakan dua cahaya mata, Khadeja Zaireen dan Khalefa Laila.
Comments