top of page
  • newsatmy

Penjajaran semula ECRL keputusan tepat


7 April 2021 KUALA LUMPUR: Penjajaran semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke laluan asal adalah langkah tepat kerana mempunyai integrasi jalinan hubungan yang baik dengan pengangkutan awam lain.


Pengarah UniKL Asia Rail Centre, Dr Azman Senin, berkata jajaran utara ECRL bagi Seksyen C mempunyai kesalinghubungan dengan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dan Transit Aliran Massa (MRT) serta laluan perkhidmatan baharu, MRT3.


Pada masa sama, katanya, Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai aktiviti ekonomi yang besar membolehkan pelbagai peluang tersedia oleh penduduk luar kawasan itu.


"Kerajaan harus melihat kembali kelebihan ini agar Lembah Klang dapat ditambah baik menjadi pusat ekonomi utama negara dan serantau," katanya kepada BH.


Beliau berkata, jajaran asal ECRL akan turut merancakkan pergerakan kargo dan penumpang, termasuk pelancongan khususnya di Pahang serta Kelantan.

"Bagi penduduk negeri terbabit, mereka boleh berniaga produk tempatan di Kuala Lumpur atau kawasan perniagaan utama Lembah Klang.


"Jajaran ECRL juga mewujudkan kawasan bandar baharu yang boleh dibangunkan secara strategik. Pemaju boleh membina pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Mentakab serta kawasan lain sepanjang laluan ECRL.


"Oleh itu, kerajaan perlu mempunyai dasar yang sesuai agar projek ini memberikan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat dan perniagaan," katanya.


Azman berkata, jajaran asal Fasa 1 antara Gombak ke Wakaf Baru dan Fasa 2 ke Pelabuhan Klang melalui Serendah juga mempunyai perhubungan antara dua pelabuhan utama negara.


Jelasnya, jajaran ini boleh menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan persinggahan utama di pantai barat, manakala pelabuhan Kuantan pula boleh dibangunkan menjadi pelabuhan utama di bahagian pantai timur.


Dalam pada itu, katanya, jajaran selatan boleh dirancang semula untuk Fasa 3 bagi masa akan datang yang berkemungkinan menghubungkan stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Mentakab.


Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, turut sependapat dengan menyatakan ECRL dapat dihubungkan dengan LRT Kelana Jaya di ITT Gombak, sekali gus memberikan jaringan lebih baik dan jumlah penumpang lebih besar ke Pantai Timur.


Beliau berkata, projek rel mega ini juga penting dalam perhubungan dan perdagangan kerana akan melengkapkan penubuhan hab kargo nasional di Serendah.


Katanya, ia akan memudahkan perhubungan kereta api ke koridor ekonomi dan pelabuhan di Malaysia yang membabitkan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER) dan Pelabuhan Pulau Pinang; Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) serta Pelabuhan Kuantan serta Iskandar Malaysia dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di bahagian selatan.


"Selain itu, ECRL akan menghubungkan perkhidmatan kargo ECRL dan KTMB di tiga buah stesen iaitu Temerloh, Serendah dan Jalan Kastam (Pelabuhan Klang), selain tambahan kemudahan pertukaran di Northport dan Westport untuk KTMB," katanya.


Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, penjajaran semula ECRL juga membolehkan lebih banyak trafik penumpang dan kargo direkodkan, selain mengurangkan impak kepada alam sekitar.


Katanya, penjajaran semula itu akan membolehkan lebih banyak kargo diangkut, iaitu sekitar 26.12 juta tan berbanding jajaran selatan yang dijangka hanya mampu membawa kargo sebanyak sembilan juta tan bagi tahun pertama operasi.


"Ini akan memangkinkan ekonomi dengan lebih pesat lagi, selain memacu aktiviti komersial dan membuka peluang pekerjaan.


"Empat negeri yang terbabit dalam projek ini juga mampu mendapat faedah kerana ia akan meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi di kawasan luar bandar dan pinggir bandar," katanya. -BH Online

bottom of page