• newsatmy

Penstrukturan semula Thai AirAsia menyaksikan suntikan modal THB 3.150 juta

28 April 2021

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Asia Aviation Public Company Ltd telah meluluskan resolusi pelan penstrukturan semula korporat dan modal Thai AirAsia Co Ltd, yang akan menyaksikan pelabur baharu menyediakan pinjaman kepada subsidiari utamanya, Thai AirAsia, dengan jumlah maksimum sehingga THB3.15 juta (1THB= RM0.1306512).


AirAsia Group Bhd dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata industri penerbangan dan syarikat itu telah terjejas teruk oleh COVID-19, oleh itu, ia telah menggariskan beberapa strategi termasuk penyediaan pinjaman oleh pelabur baharu, saham dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) serta meletakkan Thai AirAsia sebagai syarikat tersenarai di Bursa Saham Thailand.


"Sejak awal 2020, syarikat telah berusaha merancang agar operasi perniagaan syarikat dapat diteruskan dengan baik walaupun semasa pandemik COVID-19.


"Pada awal tahun ini, untuk membolehkan syarikat terus beroperasi dengan mantap dan berkesan, syarikat telah menghubungi pelabur bagi mendapatkan sokongan kewangan untuk meningkatkan mudah tunai syarikat dalam jangka pendek, sederhana dan jangka panjang bagi kegunaan operasi perniagaan," katanya.


Menurut AirAsia, bagi membolehkan kumpulan menerima bantuan kewangan tersebut, syarikat perlu menyusun semula operasi untuk menjadikan perniagaannya menarik agar pelabur melabur.


Penyediaan pinjaman adalah dalam bentuk perjanjian pinjaman boleh tukar atau bon boleh tukar (Kupon Sifar yang diterbitkan pada nilai nominal 100 peratus), mengikut mana-mana yang berkenaan.


"Sebaik sahaja Syarat Penukaran berlaku, status pelabur baharu akan berubah daripada pemiutang kepada pemegang saham Thai AirAsia.


"Proses sedemikian dijangka selesai dalam pertengahan Mei 2021," katanya.


AirAsia menekankan bahawa syarikat telah mengurangkan waktu bekerja kakitangannya atau memilih untuk menstruktur semula bilangan pekerja termasuk menurunkan kos dan perbelanjaan, bagaimanapun, langkah tersebut masih tidak dapat menghalang syarikat daripada mengurangkan kesan COVID-19.


"Pendapatan daripada yuran penumpang telah turun mendadak sejak awal 2020 dan keadaan wabak COVID-19 nampaknya tidak bertambah baik.


"Keadaan semasa masih tidak berubah kepada tahap sebelum pandemik, sebaliknya, seperti sekarang terdapat satu lagi penularan COVID-19 yang lebih teruk dan serius berbanding senario sebelum ini," tambahnya.


-- BERNAMA