top of page
  • zaman

Penumpang pengangkutan awam kendalian Prasarana cecah sejuta individu sehari


KUALA LUMPUR, 26 Mac- Jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad mencecah sejuta penumpang sehari.


Kenyataan Prasarana memaklumkan pencapaian julung kali itu dicatatkan sejak negara beralih Ke Fasa Endemik.


"Angka itu merupakan lonjakan daripada purata 846,000 orang penumpang sehari dari 1 Januari hingga 15 Mac lepas.


"Daripada jumlah itu, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd mencatatkan 767,000 penumpang manakala perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd telah mencatatkan 235,000 penumpang iaitu angka tertinggi bagi perkhidmatan bas semenjak pandemik," menurut kenyataan itu.


Angka sejuta penumpang sehari itu juga termasuk purata 100,000 penumpang yang menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya yang dilancarkan Perdana Menteri pada 16 Mac lepas.


Prasarana menzahirkan penghargaan kepada semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu, dan pihaknya akan terus berusaha untuk memastikan faktor keselamatan, kelancaran dan kestabilan perkhidmatan dipelihara untuk manfaat awam.


Sebelum COVID-19 mula melanda negara pada awal tahun 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta, sehari.

bottom of page