top of page
  • newsatmy

Penyatuan Melayu Islam Lebih Penting Dari Survival UMNO?


BN 'tumbang' angkara sebahagian pemimpin UMNO - Osman Sapian


Kegagalan Barisan Nasional (BN) membentuk semula kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bukan kerana gabungan itu tidak mempunyai kekuatan, kata Dato' Osman Sapian.


Sebaliknya, Bekas Menteri Besar Johor berkata, BN ‘tumbang’ sebagai kerajaan pada tahun 2018 kerana sebahagian pemimpin UMNO yang telah merosakkan parti tersebut.


"UMNO-BN sudah menjadi kerajaan lebih 60 tahun. Terjadinya 'tsunami', maka tumbanglah kerajaan BN diganti dengan Pakatan Harapan (PH). Saya lihat tumbangnya Kerajaan BN bukan kerana tidak cukup kekuatan.


"Tapi kekuatan ini dilemahkan (terjadinya tsunami) angkara sebahagian pemimpin yang berada di dalam BN khususnya UMNO yang sudah menjadikan UMNO rosak sebagai parti tunjang kepada BN," katanya dalam Siri Pertama Bual Bicara anjuran Prihatin Johor di Johor Bahru, semalam.


Selain Osman, bual bicara bertajuk ‘Penyatuan Melayu Islam Lebih Penting Dari Survival UMNO’ dikendalikan oleh Cin Ridzuan selaku moderator turut menampilkan pengamal undang-undang, Alias Rasman sebagai panel kedua.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, umum mengetahui dengan masalah korupsi sebahagian pemimpin UMNO yang berlaku sehingga menjejaskan ekonomi negara.


Mengulas lanjut faktor kegagalan BN mengekalkan tampuk kuasa, ujarnya, ia berikutan kewujudan kelompok orang muda yang berpendidikan dan miliki jaringan pergaulan yang lebih luas.


Selain itu, katanya, perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) masa kini yang memudahkan rakyat mendapatkan maklumat dengan begitu cepat.


“Disamping kegagalan pemimpin-pemimpin di dalam UMNO-BN ini memerintah dengan secara ikhlas, jujur dan bersih. Dicampur dengan perkara-perkara ini, maka itu sebablah terjadinya ‘tsunami,” katanya.


Malah beliau berkata, pada tahun 2018, wujudnya desakan rakyat yang menuntut pembaharuan supaya kerajaan (semasa) ditukar (melalui pilihan raya) kepada kerajaan baharu.


UMNO sepatutnya bersyukur: Osman Sapian


Kembali menjadi kerajaan selepas 22 bulan sebagai pembangkang, UMNO sepatutnya bersyukur, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Dato’ Osman Sapian.


Menurut beliau, UMNO tidak boleh bangga diri dan merasakan mesti diberikan jawatan lebih tinggi kerana jumlah kerusi yang dimiliki lebih banyak berbanding parti-parti lain yang membentuk kerajaan pada hari ini.


"Mereka mesti ingat (bahawa) mereka mendapat kuasa dan tempat bukan kerana kekuatan mereka. Kalau BERSATU tidak bersama dalam Perikatan Nasional, (dan) bersama mereka, mereka juga tiada kuasa.


"Kalau BERSATU masih dengan Pakatan Harapan, mereka tunggulah PRU15. Mungkin menang, mungkin juga kalah.


"Jadi mereka tak boleh membangga diri mereka mengatakan mereka mempunyai kerusi yang banyak, maka mesti diberikan jawatan yang lebih tinggi," katanya dalam Siri Pertama Bual Bicara anjuran Prihatin Johor di Johor Bahru, semalam.


Sebagai parti yang telah memberikan sokongan sehingga terbentuknya kerajaan pada hari ini, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, UMNO kena bertoleransi dan bermuhasabah.


DUN Pulai Sebatang, kalah: Osman Sapian


Ucapan Pengerusi UMNO Johor, Dato' Ir. Hasni Mohammad ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang lalu mendapat reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Dato' Osman Sapian.


Bercakap dalam Siri Pertama Bual Bicara anjuran Prihatin Johor semalam, Osman turut mempertikai intipati ucapan Hasni selaku wakil dari Johor yang telah menyentuh BERSATU Johor dan Bahagian Pagoh pimpinan Perdana Menteri.


"Dia cakap BERSATU Johor tak kuat. Dia cakap Presiden (merangkap) Pengerusi BERSATU (Johor) YAB Perdana Menteri tak kuat. (PN) Pagoh hanya (kira-kira) 20 peratus orang menyokong. Kalau (Tan Sri) bertanding lagi kalah.


"Dia (Hasni) kena tanya diri dia selaku Ketua Bahagian Pontian, adakah 100 peratus di Parlimen Pontian itu (BN) menang? DUN Pulai Sebatang (BN) kalah.


"Sekurang-kurangnya ketika Tan Sri bertanding PH, kita (BERSATU) sapu semua (kerusi). Menang dengan majoriti 6,000 lebih," katanya.


Bekas Pengerusi BERSATU Johor itu juga tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang menyuruh Menteri Besar Johor untuk berucap sedemikian di hadapan para perwakilan ketika PAU yang lalu.


Disamping itu, selaku bekas ahli UMNO yang pernah memegang beberapa jawatan penting dalam parti, Osman menyifatkan kehadiran perwakilan pada PAU 2020 bukanlah mewakili dan membawa 100 peratus suara akar umbi dan rakyat.


"Saya tak fikir," katanya.


- PN Online


bottom of page