top of page
  • admin

Penyebaran bahan promosi LGBT, negara sekular perlu diambil tindakan - Pas Selangor


KUALA LUMPUR 7 Mac: Pas negeri Selangor menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas keprihatinan untuk membendung umat Islam daripada budaya songsang lesbian, gay bisexual dan transgender (LGBT) serta konsep negara sekular.


Menurut Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Ahmad Yunus Hairi, parti itu konsisten berpegang dengan kemuliaan dan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan negara.


"Penyebaran bahan-bahan yang mempromosi LGBT dan konsep negara sekular seperti fahaman komunis oleh pihak-pihak tertentu mestilah diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa di negara ini. "Peruntukan mengadakan latihan dan meningkatkan kecekapan sistem perundangan syariah oleh pihak kerajaan Persekutuan juga amat wajar bagi memajukan lagi pentadbiran agama Islam di peringkat Persekutuan dan negeri, seterusnya mengekang budaya songsang LGBT dan fahaman komunis daripada terus tumbuh di negeri Selangor khususnya.

"Pas Selangor juga menegaskan bahawa dialog antara agama juga perlu digerakkan semula bagi membugar semangat toleransi dan mencapai kesepakatan dalam menolak budaya songsang LGBT dan fahaman komunis daripada terus membarah dalam masyarakat di negara ini, " kata Ahmad Yunus dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.


Semalam sempena Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Kali Ke-69 di Istana Melawati, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf golongan LGBT serta konsep negara sekular.

Titah baginda, jaminan itu bertepatan waktunya untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berkata, Pas dan rakan-rakannya di Selangor komited mendukung budaya politik matang dan sejahtera dan akan terus berkerja memartabatkan agama Islam dan seterusnya mengembalikan kegemilangan dan kemakmuran di negeri Selangor khususnya.


Astro Arena

bottom of page