• newsatmy

Penyertaan kembali KWSP, pasaran bon domestik dijangka lebih positif

27 Januari 2022

KUALA LUMPUR: Pasaran bon domestik dijangka lebih positif tahun ini memandangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kembali semula menyertai pasaran itu.


Pengarah Kanan Pendapatan Tetap Affin Hwang Asset Management Bhd (Affin Hwang AM), Esther Teo berkata, bagaimanapun prestasinya dijangka tidak begitu lancar kerana pasaran berdepan dengan peningkatan kadar faedah di peringkat global dan juga di Malaysia.


"Justeru itu sekurang-kurangnya dalam tempoh separuh pertama tahun ini, kita masih berhati-hati," katanya semasa Persidangan Meja Bulat Pelaburan Affin Hwang AM: Prospek Pasaran 2022, yang diadakan secara maya, hari ini.

Teo berkata, pasaran bon domestik sangat diinstitusikan dengan 90% dagangan bon di Malaysia dipacu oleh dana pencen, insurans serta pengurus aset dan KWSP adalah satu daripada peserta utama dalam segmen ini.


"Kita melihat banyak pengeluaran daripada KWSP dan oleh itu, mereka mengekalkan penampan itu bagi memenuhi penebusan terbabit.


"Tahun lalu kita menyaksikan bon domestik tempatan berdepan tempoh yang sukar, bertahun-tahun ia tidak pernah mencatatkan tahun yang negatif.


"Tahun lalu adalah tahun pertama yang mana pasaran bon ringgit mencatatkan pulangan negatif 1-2%," katanya.


Menurutnya, hasil bon amat rendah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dan kini Affin Hwang AM melihat bahawa perubahan adalah tahun peralihan.


"Tetapi saya fikir separuh kedua tahun ini dan pada 2023, hasil portfolio dan hasil bon akan menjadi lebih menarik untuk dilihat oleh pelabur," katanya.


Sementara itu, mengulas mengenai prospek penarafan memandangkan penarafan kredit negara yang menyusut sejak 2020, beliau berkata tidak akan ada penurunan penarafan bagi Malaysia dalam tempoh setahun dua ini sekiranya kerajaan boleh menguruskan kedudukan kewangan dan fiskal negara dengan baik.


"Berikutan pandemik, banyak kerajaan memerlukan rangsangan fiskal untuk membantu memulihkan ekonomi.


"Banyak agensi penarafan ini memberikan sedikit masa dan melihat kepada prospek bagi asas jangka sederhana," katanya.


Teo berkata, Malaysia masih negara yang diberikan penarafan A dan hasil bon tempatan masih kekal menarik.


"Sebagai contoh, Sekuriti Kerajaan Malaysia 10-tahun (MGS) kita hari ini didagangkan pada 3.7% dan jika anda bandingkan negara kita dengan negara penarafan A lain seperti Korea Selatan atau malahan negara dengan penarafan BBB seperti Thailand, hasil bon 10-tahun di negara terbabit memberikan anda pulangan kurang daripada 2%.


"Jadi, saya fikir hasil pasaran bon kita masih agak tinggi dan walaupun sekiranya kita berdepan dengan penurunan satu takuk kepada BBB+, saya tidak merasakan impak ke atas bon adalah ketara," katanya.