Penyokong Thailand & Indonesia simpati dengan nasib skuad Harimau Malaya
29 Dis
Penyokong Thailand dan Indonesia dilihat bersimpati dengan skuad Harimau Malaya, ‘menyerang’ Vietnam,walaupun kedua pasukan akan bertembung pada petang ini.
Insiden melibatkan dua pertahanan – Malaysia dan Vietnam dalam aksi kedua-dua pasukan pada Selasa. Doan Van Hau dan Azam Azmi Murad terlibat dalam insiden yang menyaksikan layangan kad merah telah diberi kepada bek kanan Malaysia itu. Van Hau terlepas daripada hukuman.
Ia mendapat liputan meluas disebabkan keputusan pengadil yang dilihat meragukan, namun yang menariknya, penyokong Thailand dan Indonesia berada di belakang Malaysia walaupun sebelum ini penyokong Malaysia dan Indonesia sering bersengketa.
Permusuhan antara penyokong Malaysia dan Indonesia seolah-olah lenyap buat sementara disebabkan Van Hau.
Malah, penyokong Indonesia dan Thailand bersama-sama mengkritik Van Hau dan pengadil atas keputusan meragukan dalam perlawanan tersebut sedangkan mereka harus fokus kepada pertembungan mereka petang ini.
Sejak perlawanan berakhir, penyokong Indonesia dilihat agresif menyerang Van Hau yang dikatakan pernah ‘merobek’ perasaan mereka juga. Ia berlaku pada final Sukan SEA 2019 di mana bek kiri, Van Hau itu memijak kaki sang arkitek, Evan Dimas sehingga terpaksa diusung keluar seawal 21 minit.
Ini menyaksikan permainan ‘Sang Garuda’ tidak menjadi dan mereka tewas 0-3 di perlawanan tersebut dan terlepas pingat Emas yang mereka idamkan.
Dalam ciapan di Twitter penyokong dari Indonesia “Bermula malam ini, Doan Van Hau akan menjadi musuh penyokong bola sepak Malaysia. Penyokong di Indonesia juga pernah marahkannya. Final Sukan SEA 2019, terjahan keras oleh Van Hau menyebabkan Evan Dimas tidak boleh lagi melanjutkan permainan!”
Malah, portal bola sepak Indonesia, Bola.net turut mengeluarkan artikel bertajuk, ‘Doan Van Hau kini jadi musuh bersama Indonesia dan Malaysia‘.
Pemain berusia 23 tahun itu diketahui sangat agresif permainannya dan suka mengumpan emosi pemain lawan menerusi terjahan kerasnya.
Penyokong Thailand juga turut tumpang merancakkan ‘serangan’ Malaysia dan Indonesia terhadap Vietnam. Antara komen yang menarik adalah, “Bagi sahaja kejuaraan kepada Vietnam. Itu sudah cukup. Pemain Thailand juga akan menderita nanti. Ia juga sukar buat pasukan lain jika begini.”
Ada juga secara sinis berkata, “Walaupun pengadil itu dari Jepun, tetapi mungkin hatinya milik Vietnam.”
Kesatuan antara Malaysia-Thailand-Indonesia ini dilihat memilih musuh yang sama iaitu jagoan Asean, Vietnam,walaupun pertembungan untuk menentukan pendahulu Kumpulan A antara Thailand dan Indonesia pada petang ini.
Comments