top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Perak akan cadang tarikh sidang DUN bagi mohon perkenan Sultan Nazrin - Speaker

22 Jun 2021

IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan mencadangkan tarikh bagi mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk memohon perkenan baginda.


Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad akan menghadap Sultan Nazrin bagi menyembah maklum mengenai cadangan tarikh untuk persidangan itu pada minggu ini.


"Saya difahamkan dalam minggu ini Menteri Besar akan menghadap Tuanku Sultan untuk sembah maklum cadangan tarikh untuk mengadakan Sidang DUN.


"Selepas mendapat perkenan dari Tuanku, barulah kita akan keluarkan notis untuk memanggil sidang dewan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Sebelum ini, Mohammad Zahir dilaporkan berkata persidangan DUN Perak sepatutnya diadakan selewat-lewatnya Jun ini selepas persidangan terakhir pada Disember lepas ketika pembentangan Belanjawan 2021 negeri.


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu lepas menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.


Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan pula dipetik berkata di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang secepat mungkin.


Jumaat lepas, beberapa negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah memaklumkan akan membuat pemohonan bagi mengadakan sidang DUN manakala Perlis dijadual kembali bersidang selama tiga hari bermula 24 Ogos.


Pada Sabtu lepas, sidang DUN Melaka dilaporkan akan diadakan selewat-lewatnya pertengahan bulan depan selepas tarikh sebenar pelaksanaannya digazetkan.


Semalam pula, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan Kedah belum bercadang untuk mengadakan persidangan DUN dan hanya melaksanakannya selepas Parlimen bersidang berikutan masih terikat dengan Ordinan Darurat.


DUN Kelantan juga dilaporkan hanya akan bersidang selepas Parlimen mengumumkan tarikh persidangannya, kata Yang Dipertuanya Datuk Abdullah Ya'kub.



-- BERNAMA

Comentários


bottom of page