top of page
  • Farah

Perak lakar hatrik Piala Tun Abdul Razak


KUALA LUMPUR,17 OKT: Perak nyata berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya melakar hatrik dalam kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak 2022, selepas membelasah Pahang 5-1 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.


Kemenangan berkenaan memastikan Perak muncul sebagai pasukan kedua paling berjaya pada kejohanan itu apabila merangkul 12 kejuaraan di belakang Kuala Lumpur (16 kejuaraan) dan mengatasi Selangor yang merupakan juara 10 kali.


Juara bertahan edisi lepas itu pernah merangkul kejuaraan pada edisi 1966, 1973, 1985, 1987, 1992, 2013, 2014, 2017, 2018 dan 2020.

Skuad kendalian S. Jagatheesan yang bermula garang membuka tirai jaringan seawal minit kedua perlawanan menerusi jaringan padang Muhammad Hafizal Halmi sebelum Syed Mohammad Syafiq Syed Cholan menambah jaringan sudut penalti pada minit ke-29.


Dalam aksi final berkenaan, Perak terus menambah derita skuad kendalian Mohd Sufian Mohamad apabila berjaya meledak jaringan padang menerusi Muhammad Akram Hakkam Jamaluddin pada minit ke-36 perlawanan.


Perak terus melancarkan serangan bertali-arus ke arah gawang pihak lawan, dan membolehkan Syed Mohammad Syafiq memanfaatkan peluang apabila berjaya menjaringkan pukulan penalti pada minit ke-41 sebelum Saiful Sharil Saiful Bahri menoktahkan kemenangan menerusi jaringan sudut penalti selang dua minit kemudian.


Bagaimanapun, Pahang berjaya menjaringkan gol tunggal menerusi Muhammad Idris Samad pada suku akhir perlawanan.


"Kejayaan ini langsung tidak saya sangka, oleh itu saya sangat berpuas hati dengan prestasi pemain saya kerana saya percaya ini hasil kerja keras pemain tanpa mengenali erti kalah.

"Saya bangga menjadi jurulatih kepada pasukan Perak, kerana Pahang baru sahaja memenangi Sukan Malaysia (Sukma) pada bulan lepas namun pasukan saya (Perak) berjaya buktikan mereka adalah pasukan terbaik untuk mencapai matlamat hatrik kategori lelaki," kata Jagatheesan kepada pemberita selepas perlawanan di sini, malam tadi.


Terdahulu, Melaka mengesahkan kedudukan di tangga ketiga selepas menundukkan Johor 3-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.


Sementara itu, Selangor muncul juara bagi kategori wanita setelah menewaskan Melaka, 3-2 di venue sama sebelum itu.


Pahang pula mengatasi Pulau Pinang 8-2, untuk mengesahkan tempat di kedudukan ketiga bagi kategori sama.

-- BERNAMA

bottom of page