- newsatmy
Perak tewaskan Kuching City 2-0
IPOH, 13 Mac- Perak FC akhirnya mencatat kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan Kuching City FC 2-0, malam tadi. Bermain di laman sendiri, pasukan tuan rumah dipaksa bekerja keras sebelum gol pembukaan hadir pada minit ke-41. Gol berpunca rembatan penyerang import dari Korea Selatan, Seo Seonung yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Kuching City FC, Shaiful Wazizi Mohammad. Seonung sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat selepas menyumbat gol kedua Perak FC pada minit ke-57. Tamat perlawanan, Perak FC 2, Kuching City FC 0. Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong kim nyata berpuas hati dengan aksi pasukannya yang dilihat lebih tajam di hadapan gol. "Setiap perlawanan kita beri yang terbaik, kita ada peluang. Hari ini, peluang itu kita berjaya manfaatkan menjadi gol. Sebelum ini, penyudah itu agak tidak menjadi tetapi kali ini pemain mula faham dan terjemah dengan baik sekali," kata Teong Kim kepada pemberita RTM selepas perlawanan.
Sementara itu, nada berbeza disuarakan penolong jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin yang menyifatkan pemainya beraksi di bawah kemampuan sebenar. "Bukan sebab Perak bagus, tetapi kita yang bermain dengan tidak baik. Dalam Liga Super, anda tidak ada ruang untuk lakukan kesilapan, maka kalau kita nak bersaing dalam liga ini, pemain kena tahu permintaan dan berinteraksi dengan betul untuk capai objektif itu," kata Sulaiman kepada pemberita RTM
Comentarios