top of page
  • Writer's pictureNihaba

Perbicaraan kes ditangguh, Rosmah kontak rapat COVID-19

8 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembekalan projek solar hibrid kepada 369 sekolah di luar bandar di Sarawak berikutan status MySejahtera menunjukkan beliau kontak rapat kes COVID -19.


Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut melapangkan perbicaraan yang dijualkan esok, selepas peguam Datuk Jagjit Singh memberitahu mahkamah bahawa status MySejahtera anak guamnya itu berwarna jingga.


Beliau turut mengarahkan peguam bela supaya menyemak dan mengemas kini status MySejahtera Rosmah kerana perbicaraan perlu diteruskan pada Jumaat ini.

"Ini tanggungjawab yang perlu anda pikul...anda perlu memastikan anak guam anda mengemas kini status MySejahtera beliau dan memaklumkan kepada mahkamah mengenai sebarang perkembangan terkini. Jika statusnya biru (berisiko rendah), kami akan meneruskan perbicaraan pada Jumaat," katanya.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah, beliau telah dimaklumkan oleh peguam bela bahawa Rosmah telah menjadi kontak rapat dengan individu yang menghidap COVID-19.


Sementara itu, Hakim Mohamed Zaini turut meminta pihak pembelaan menjelaskan kepada mahkamah mengenai alasan Rosmah gagal pulang ke tanah air selepas lawatannya ke Singapura pada 21 Nov sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah pada Oktober lepas.


Jagjit menjelaskan bahawa terdapat perubahan dalam rancangan perjalanan anak guamnya itu memandangkan terdapat perubahan pada peraturan kuarantin di bawah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) yang baharu antara Malaysia dan Singapura dan beliau mewakili Rosmah memohon maaf kepada mahkamah.-


留言


bottom of page