• newsatmy

Perdana Menteri tiba di Kuching bagi lawatan rasmi

1 April 2021

KUCHING: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) tepat jam 9.38 pagi untuk lawatan rasmi dua hari ke Sarawak bermula hari ini.


Muhyiddin dan isteri Puan Sri Noorainie Abdul Rahman yang tiba dengan pesawat rasmi kerajaan disambut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg serta timbalannya Tan Sri James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, selain Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju.


Ini merupakan lawatan pertama Muhyiddin ke Sarawak sejak menjawat jawatan Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.


Dalam lawatan ini, Perdana Menteri dijangka menghadiri taklimat Hala Tuju Kerajaan Negeri Sarawak dan mengadakan perjumpaan khas bersama penjawat awam di Hotel Waterfront, di sini.


Pada sebelah petang, Muhyiddin akan mengadakan tinjauan ke pusat vaksin di Stadium Perpaduan Kuching sebelum mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di kediamannya di Demak Jaya sekitar jam 3.30 petang.


Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan tertutup dengan Abang Johari dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pukul 8 malam ini.


Lawatan ini akan menyediakan platform bagi kedua-dua pemimpin bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negeri.


- Astro Awani