• Arissa

Pergaduhan Payet-penyokong punca aksi Nice, Marseille dibatalkan

23 Ogos 2021

PERLAWANAN Ligue 1 di antara Nice dan Marseille ditangguh sebelum dibatalkan selepas Dimitri Payet mencampakkan semula botol minuman ke arah penyokong hingga mendorong peminat tuan rumah menyerbu padang.


Rakaman menunjukkan Payet diserang oleh objek dari arah belakang berhampiran penjuru padang dalam separuh masa kedua ketika Nice mendahului menerusi gol Kasper Dolberg pada minit ke-49.


Bintang Marseille itu kemudian bertindak melemparkan kembali botol tersebut ke penyokong sebelum satu lagi objek menyusul sambil rakan sepasukannya bertindak balas ke arah penyokong.


Peminat kemudian bertindak melepasi pengawal keselamatan dan meluru ke padang hingga mencetuskan keadaan huru-hara.


Pengadil mengambil keputusan untuk menangguhkan perlawanan itu sambil kakitangan keselamatan berusaha untuk memulihkan ketenteraman, tetapi peminat masih mencerobohi padang termasuk ketika pemain menuju ke terowong stadium.


Kedua-dua belah pasukan akhirnya dibawa ke bilik persalinan hampir sejam sebelum pemain Nice kembali ke padang untuk memanaskan badan dengan permainan tampak akan disambung semula.


Pegawai perlawanan mahu memulakan perlawanan di penjuru padang Marseille tetapi oleh kerana pelawat tidak kembali ke padang dan enggan meneruskan permainan, pengadil terpaksa menamatkan perlawanan itu.


Presiden Marseille, Pablo Longoria, memberitahu RMC Sport: "Kami memutuskan untuk tidak meneruskan perlawanan demi keselamatan pemain kami.


"Penganjur memutuskan untuk menyambung perlawanan kerana berkaitan masalah ketenteraman awam. Ia tidak dapat diterima oleh kami. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk tidak menyambung semula pertemuan ini."