• newsatmy

Perhimpunan Agung UMNO 2020 jadi tumpuan

28 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Hari ini akan berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2020, satu perhimpunan penting buat parti yang antara terbesar dan tertua di negara ini dalam menentukan hala tujunya menghadapi cabaran politik masa kini selain Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Ia bermula dengan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa yang dijadualkan pada 7.30 pagi.


Seperti kelaziman, acara menaikkan bendera dilakukan di Plaza Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) dan disusuli pemeriksaan barisan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyaksikan buat pertama kali ia berlangsung dalam suasana norma baharu kerana penularan pandemik COVID-19.


Selepas itu, perasmian persidangan oleh Ahmad Zahid bakal mengambil tempat pada 9 pagi di Dewan Merdeka, menghimpunkan perwakilan dari 190 bahagian di seluruh negara kecuali Sarawak secara hibrid.


Ia kemudian diikuti dengan sesi perbahasan dan diakhiri dengan sesi penggulungan.

Acara bagi Perhimpunan Agung UMNO 2020 diadakan selama dua hari bermula semalam selepas setahun ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.


Semalam berlangsung perasmian serentak dan persidangan tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang menyaksikan pemantauan ketat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).


Perhimpunan edisi kali ini juga berjalan dalam keadaan sederhana tanpa sambutan besar-besaran seperti kelazimannya dan kibaran bendera UMNO 'Sang Saka Bangsa' di sepanjang jalan utama di Kuala Lumpur seperti tahun-tahun sebelumnya.


-- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.