top of page
  • newsatmy

Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu ini, perkara berikut perlu diperhatikan

25 Mac 2021 KUALA LUMPUR: Sedang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menganjurkan perhimpunan agung hujung minggu ini, para pemerhati politik akan mencari tanda-tanda dinamik dalam parti itu dan bagaimana ia akan menetapkan kedudukannya menjelang pilihan raya akan datang.


Perhimpunan agung itu, yang sudah beberapa kali ditangguhkan dari tahun lalu disebabkan oleh COVID-19, adalah salah satu acara politik paling diperhatikan di Malaysia, lebih-lebih lagi dengan peranan utama UMNO dalam pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan peranan pentingnya sekarang dalam Perikatan Nasional (PN).


Tahun 2021 juga menandakan ulang tahun ke-75 sejak UMNO ditubuhkan. Perhimpunan tahun ini akan diadakan dalam bentuk hibrid - secara fizikal dan juga maya.


Pihak media juga tidak dibenarkan memasuki dewan perhimpunan untuk melaporkan ucapan-ucapan serta perbahasan, disebabkan protokol kesihatan.


Perhimpunan itu akan dilangsungkan dalam era penting selepas UMNO memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kepimpinan Encik Muhyiddin Yassin menjelang pilihan raya akan datang, yang akan diadakan setelah Malaysia berjaya menangani COVID-19 kelak.


Selain itu, sebahagian Anggota Parlimen (AP) UMNO sebelum ini menzahirkan sokongan kepada pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim atau menarik balik sokongan kepada PN.


Semua mata kini tertumpu kepada perpaduan UMNO, memandangkan isyarat berbeza-beza yang diberikan oleh UMNO Bahagian negeri, menurut pihak-pihak yang diwawancara Mediacorp.


Isu-isu lain yang perlu diberi tumpuan termasuk sejauh mana kerusi yang ditentukan akan mewarnai pertimbangan politik UMNO dan sama ada perbincangan bagi persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH) akan dijalin.


PERPADUAN PARTI


Meskipun UMNO memberi isyarat bahawa ia hanya akan bekerjasama dengan Bersatu sehingga parlimen dibubarkan dan pilihan raya ditetapkan, terdapat percanggahan mesej tentang sama ada kedua-dua pihak akan bekerjasama semasa berkempen.


Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Profesor Ahmad Martadha Mohamed, berkata di peringkat UMNO Bahagian negeri, ia sudah mendukung pendekatan yang berbeza-beza.


"Terdapat kenyataan bahawa UMNO akan bekerjasama dengan Bersatu di beberapa negeri seperti Sabah dan Perlis (meskipun Perlis sudah menarik balik pendirian itu). Di Perak dan Johor pula para pemimpin UMNO jelas menyatakan bahawa mereka tidak akan bekerjsama dengan Bersatu," kata beliau.


Pakar Sains Politik Ahmad Fauzi Abdul Hamid, yang sekarang ini sarjana di Pusat Oxford bagi Pengajian Islam, berkata UMNO perlu difahami sebagai sebuah parti pragmatik.


"Saya tidak akan terlalu bergantung kepada pengesahan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang. 'Keadaan tidak dijangka' boleh berlaku dan mengubah keseluruhan senario," kata Profesor Ahmad Fauzi.


Ahli akademik itu menyatakan, sudah semakin jelas bahawa terdapat tanda berpuak-puak dalam UMNO. Beliau berkata salah satu puak dalam parti itu cenderung menyokong kerajaan PN meskipun ini bermakna UMNO akan memainkan peranan kurang penting di sisi Bersatu.


"Anggota elit dalam kumpulan ini dilantik, dalam politik dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan kerana mereka mendukung sentimen pro-Melayu dan juga laungan 'No Anwar, No Democratic Action Party (DAP) (Tiada Anwar, Tiada DAP)'," kata beliau, sambil menambah ini sejajar dengan slogan asli UMNO iaitu "Hidup Melayu".


Satu lagi puak, kata beliau, dipimpin presiden parti UMNO Ahmad Zahid Hamidi.


"Ahmad Zahid kelihatan sebagai individu penting dalam rundingan sulit dengan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim untuk mengadakan perjanjian dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak semestinya Pakatan Harapan, untuk PRU15," kata Profesor Ahmad Fauzi.


Beliau menambah hubungan antara kedua-dua mantan timbalan perdana menteri itu sudah lama sejak 1998 apabila Anwar disingkirkan oleh mantan perdana menteri Mahathir Mohamad.


"Pada masa itu Zahid adalah ketua belia UMNO yang setia dengan Anwar, seorang anak didiknya," ujar Profesor Ahmad Fauzi.


PENENTUAN KERUSI


Salah satu hambatan yang mencegah UMNO daripada mengadakan perjanjian dengan Bersatu adalah isu kerusi, kata Cik Aira Nur Ariana Azhari, Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus di Institut Ehwal Demokrasi dan Ekonomi.


Pengarah pilihan raya UMNO, Tajuddin Abdul Rahman sudah memberi isyarat bahawa UMNO mahu bertanding di kesemua kerusi yang pernah dimenanginya dalam pilihan raya sebelum ini, termasuk kerusi di mana parti itu tewas akibat perbuatan belot, kata beliau, merujuk kepada kenyataan terbaru oleh AP Pasir Salak.


"Ada sejumlah kerusi bagi majoriti Melayu untuk direbut dan kedua-dua UMNO dan Bersatu bergantung kepada kerusi-kerusi itu untuk mendapatkan undian," tambah Cik Aira.


Para pemimpin akar umbi kedua-dua parti yang pandangan mereka penting dalam rundingan kerusi juga akan menjadi antara faktor yang menyulitkan langkah untuk mencari keseimbangan, ujar beliau.


Keadaan itu dirumitkan lagi dengan minat Parti Islam Se-Malaysia (PAS).


Meskipun PAS biasanya menghadkan kuasanya di daerah pantai timur Kelantan, Terengganu dan wilayah utara Kedah, ia adalah anggota dalam PN dan juga rakan kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO.


Hubungan parti antara UMNO dengan PAS juga terjejas sedang PAS dilihat semakin rapat dengan Bersatu, menurut Profesor Ahmad Fauzi.


"PAS juga dilihat lebih berpengaruh dalam kawasan "jaluran Melayu" di negara itu tetapi sama ada UMNO akan meraih manfaat daripada kerjasama (dengan PAS) masih belum dapat dipastikan walaupun selepas setahun setengah dalam MN," kata beliau.


"PAS pula tidak bersikap terbuka untuk berkongsi kuasa dengan UMNO di negeri-negeri yang dikuasainya, meskipun terdapat penumpuan ideologi sejak usaha bersama kedua-dua parti untuk merealisasikan RUU355 (rang undang-undang hudud) pada 2014," tambah beliau.


SEMUA MATA TERTUMPU KEPADA PANDANGAN AKAR UMBI


Spekulasi bahawa satu perjanjian mungkin dijalin antara UMNO dengan Anwar Ibrahim sudah tercetus sejak September tahun lalu.


Bagi Cik Aira, perjanjian sedemikian perlu menimbangkan pandangan akar umbi.


"PKR masih sebahagian daripada perikatan lebih besar PH. Keputusan sama ada mahu atau tidak bekerjasama dengan UMNO perlu dibuat bersama dengan rakan-rakan perikatan PKR dan selepas menimbangkan pandangan akar umbi parti," kata beliau.


Profesor Ahmad Fauzi berkata jika UMNO boleh mengadakan perjanjian dengan Anwar dan PKR, parti itu juga boleh berharap untuk mengadakan perjanjian dengan elemen-elemen dalam DAP supaya ia juga boleh mewakili masyarakat bukan Melayu.


"UMNO mungkin berhujah bahawa DAP, sebagai parti tidak cenderung kepada kaum dan berbeza daripada MCA (Persatuan Cina Malaysia) dan MIC (Kongres India Malaysia) memaparkan Malaysia yang lebih baik."


"Tambahan pula, terdapat sokongan semakin banyak untuk DAP di peringkat akar umbi walaupun dalam kalangan anak muda Melayu yang berpendidikan tinggi yang berasa kecewa dengan cerutan hierarki yang berlaku dalam parti-parti Melayu," kata Profesor Ahmad Fauzi.


Bagaimanapun, masalah lebih besar adalah untuk meyakinkan akar umbi bahawa ini bukan pembelotan terhadap cita-cita lama DAP, khususnya dalam mempertahankan hak-hak masyarakat bukan Melayu.


Profesor Madya Ahmad Martadha berkata sejauh ini, kenyataan umum hanya dibuat oleh segelintir pemimpin UMNO. Namun perbincangan delegasi akar umbi semasa perhimpunan agung itu nanti akan memberikan gambaran lebih jelas tentang langkah seterusnya parti tersebut.


"Sukar untuk menjelaskan kedudukan rasmi UMNO. Kami mendengar daripada beberapa pemimpin tetapi tanpa sebarang perhimpunan agung, sebarang kedudukan sebenar atau perbincangan tentang mandat UMNO, seperti sama ada untuk terus bekerjasama dengan Bersatu, kami tidak meramalkan hala tuju parti itu," kata beliau.


- CNA/NK/nk


bottom of page