Arissa Azman
Perjelas konsep Keluarga Malaysia elak dianggap retorik kosong
9 September 2021
Menjadi lumrah setiap pemimpin atau kerajaan baharu akan tampil dengan fokus dan pelan mereka sendiri. Sekurang-kurangnya dalam bentuk tema, moto, seruan atau slogan tersendiri.
Tun Dr Mahathir Mohamad menggagaskan Wawasan 2020, Tun Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan konsep Islam Hadhari, Datuk Seri Najib Razak menggunakan 1Malaysia dan Pakatan Harapan (PH) tampil dengan Malaysia Baharu.
Setiap satunya harus mempunyai naratif jelas. Apakah maksud dan cakupan, sasaran serta pelan tindakan disusun dalam mencapai semua itu. Meskipun kita bersikap terbuka dengan meraikan pelbagai pandangan awam, pihak pemerintah perlu menyediakan definisi autoriti sebagai panduan dan menjadi pengikat kepada semua idea diperdebatkan.
Begitu juga dengan kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Konsep Keluarga Malaysia menjadi pilihan diketengahkan. Beliau memperkenalkan konsep ini dalam ucapan sulung sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Secara umumnya, pemilihan istilah 'keluarga' sudah pasti membawa konotasi positif. Keluarga adalah institusi terkecil terpenting dan kritikal dalam membina sesebuah masyarakat.
Keluarga adalah perkara difahami dan dimiliki hampir semua orang secara jelas.
Dalam situasi sukar negara masih bergelut dengan impak penularan pandemik COVID-19, pendekatan Keluarga Malaysia bertepatan dalam konteks kesejahteraan negara dan rakyat apabila ia menawarkan nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti kasih sayang, toleransi, empati serta pengorbanan.
Namun, adalah tidak cermat sekiranya kita membuat andaian Keluarga Malaysia sudah tidak memerlukan pendefinisian konsep, penjelasan matlamat dan pembentangan pelan tindakan serta pendekatan ingin digunakan. Semua elemen ini mesti hadir. Malah, mesti hadir dengan segera.
Ini bagi mengelakkan tiga perkara.
Pertama, kekeliruan dalam masyarakat. Seperti berlaku dalam konsep Islam Hadhari dan 1Malaysia.
Sebelum ini, 1Malaysia pernah dianggap sebagai proses membawa kesamarataan mutlak yang akan menghilangkan semua keistimewaan Bumiputera serta iltizam kerajaan dalam meneruskan agenda atau dasar pemerkasaan berfokus kepada kelompok masyarakat tertinggal. Lantas ia mengundang 'serangan' dan pertikaian banyak pihak.
Kedua, mengelakkan frasa ini dianggap sekadar slogan kosong oleh kerajaan dalam mendekati masyarakat. Seperti dilihat ketika pengenalan Malaysia Baharu. Masyarakat tidak melihat apakah 'pembaharuan' itu dan bagaimanakah Malaysia yang baharu harus dikemudi dan dibangunkan. Semua aspek penting ini ditinggalkan tanpa sebarang pengisian meyakinkan.
Ketiga, ia akan memudahkan kerajaan untuk melaksana dan menilai pencapaiannya sendiri. Tanpa konsep jelas, kerajaan sendiri tidak akan dapat menerangkan apakah matlamat dan sasaran Keluarga Malaysia ini sudah dicapai, sedang berkembang atau sebaliknya.
Kita harus bergerak daripada politik dan tadbir urus hanya berpaksikan retorik serta istilah. Namun, kita mesti mula beralih kepada sasaran dan matlamat jelas.
Jika kita ingin menilai berdasarkan konsep sebelum ini, barangkali Wawasan 2020 paling jelas dan mudah difahami, iaitu ikhtiar untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dalam acuan sendiri berpaksikan sembilan cabaran utama menjelang 2020.
Maka, kerajaan dan Perdana Menteri sekarang mesti mengambil ruang serta peluang ini untuk memberikan kepemimpinan dan peletakan hala tuju negara yang jelas. Jangan dibiarkan konsep baik seperti Keluarga Malaysia gagal dan ditolak hanya kerana ia tidak difahami, disalahertikan dan dilihat tidak lebih daripada sekadar retorik kosong.
Antara perkara mesti diberikan perhatian dalam konsep Keluarga Malaysia adalah penerapan makna sakral keluarga itu sendiri.
Dalam sebuah keluarga, semua mesti berasa terlindung, tidak diketepikan, disayangi dan diberikan keperluannya secara adil. Semua ahli keluarga mesti saling menghormati satu sama lain. Malah, dalam sesebuah keluarga juga, tidak boleh ada insiden tikam belakang.
Paling penting, dalam sesebuah keluarga itu, pelaksanaan tugas dan tanggungjawab mesti diteruskan sekalipun kita sedang dalam keadaan marah, kecewa dan disakiti. Tanggungjawab ayah tidak hilang hanya kerana marahkan si anak. Ini resam dan resmi berkeluarga.
Jadi, sejauh manakah sistem nilai dan adat berkeluarga ini mampu kita serap serta terap dalam konsep Keluarga Malaysia?
Program webinar Bicara Kemasyarakatan bertajuk 'Mentafsir Keluarga Malaysia' pada 31 Ogos lalu anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), menyenaraikan tujuh inti pati utama dalam mentafsir Keluarga Malaysia.
Dikongsikan bahawa antara iltizam makna keluarga Malaysia hendaklah berteraskan Dasar Perpaduan Negara 2021-2030, bersandarkan lima domain utama, iaitu keadilan, kepelbagaian, kebersamaan, kepercayaan dan ketelusan.
Ia dimulai pemimpin politik serta penjawat awam, diterjemahkan dalam pelbagai dasar dan program kerajaan dan mestilah bertujuan menghakis budaya 'masyarakat slogan' dan 'idaman' dengan menzahirkan tindakan kepada setiap diungkapkan.
Sudah pasti seluruh rakyat, malah komuniti serantau dan antarabangsa menantikan apakah sandaran serta hala tuju Keluarga Malaysia. Ia harus menjadi sesuatu diberikan perhatian dan muncul sebagai legasi kepemimpinan yang bukan sahaja baharu dari segi nama, tetapi membawa manfaat jauh lebih baik dan bermakna kepada semua.
Keluarga Malaysia utuh sudah tentu menggandingkan peranan ketua dan ahli keluarga, iaitu pemimpin serta rakyat. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri yang menjadi sumber kekuatan dalam kekeluargaan.
Institusi kekeluargaan boleh runtuh jika tiada lagi persefahaman dan jurang komunikasi semakin melebar. Perbezaan menjadi keutamaan berbanding persamaan.
Tuntasnya, Keluarga Malaysia memerlukan naratif lebih jelas dan konkrit yang sudah tentu mengambil kira perkara asas seperti dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Semua pandangan terutama daripada ahli pakar dan akademia boleh dikumpulkan yang akhirnya menyumbang kepada pembentukan model Keluarga Malaysia oleh pemerintah sebagai rujukan penting.
Selamat maju jaya Keluarga Malaysia, semoga Malaysia kembali menjadi keluarga buat semua.
Comments