top of page
  • newsatmy

Perjuangan Tze Yong berakhir di Kejohanan Dunia

23 Ogos

PERJUANGAN pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong, berakhir seawal pusingan kedua di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun hari ini.


Tze Yong, pemain ranking ke-42 itu yang membuat penampilan pertama, terpaksa akur kepada Sitthikom Thammasin dari Thailand 9-21, 21-10, 19-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 1 jam dan 10 minit di Tokyo Metropolitan Gymnasium.


Tze Yong, pemenang perak pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham, yang bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan pada set pertama, mempamerkan semangat juang, namun tidak dapat menyaingi kehebatan pemain di ranking ke-33 dunia itu pada set penentuan.


Sementara itu, pemain perseorangan utama wanita negara, S. Kisona masih belum sampai ke tahap sebenarnya, apabila tewas kepada pemain di ranking ke-80 dunia, Vu Thị Trang dari Vietnam 10-21, 17-21 pada aksi pusingan pertama.


Seorang lagi pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah membuka kempen dengan langkah kanan, apabila menumbangkan pemain Indonesia yang menduduki ranking ke-44 dunia, Putri Kusuma Wardani 21-19, 21-18.


Beliau yang kini berada pada ranking ke-40 dunia, berdepan cabaran sengit menentang pemain pilihan keempat kejohanan dan juara Olimpik Tokyo 2020 Chen Yu Fei.


Gandingan beregu wanita negara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing menepati ramalan apabila menang mudah ke atas gandingan Jerman Stine Kuespert-Emma Moszczynski 21-13, 21-15 dalam pertarungan yang berlangsung selama 39 minit.


Anna-Mei Xing akan berentap dengan pasangan pilihan kesembilan kejohanan dari Korea Selatan Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong pada pusingan kedua esok. - Bernama

bottom of page