top of page
  • Farah

Perkampungan PATI diserbu Jabatan Imigresen di Klang


KLANG, 18 Mac- Seramai 61 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan menerusi serbuan oleh Jabatan Imigresen di sebuah ladang kelapa sawit tinggal di Kampung Air Hitam, Klang, malam tadi.


Menyedari kehadiran pihak berkuasa, 30 orang PATI lagi meloloskan diri dengan terjun ke dalam sungai berhampiran.


Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang mengetuai serbuan berkata, penempatan haram berkenaan yang menempatkan antara 30 hingga 40 buah ruamh dipercayai telah diduduki selama lebih enam tahun dan dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air.


"Hasil daripada operasi malam ini, laporan akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk mereka merobohkan penempatan ini seperti mana operasi sebelum ini di Nilai dan Cyberjaya.


"Kita tidak boleh benarkan mereka terus mendirikan dan membesarkan kediaman di penempatan haram kerana menjadi ancaman kesihatan kepada penduduk di kawasan sekitar,"katanya.


Kesemua PATI,32 lelaki dan 29 perempuan warga Indonesia termasuk 18 kanak-kanak dan bayi berusia enam bulan ditahan di bawah seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen sah.


Serbuan melibatkan 195 pegawai dari tiga pejabat imigresen Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

bottom of page