top of page
  • newsatmy

Perkasa pegawai, anggota PDRM dalam perundangan - Muhyiddin

25 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Dirja Malaysia (PDRM) perlu memperkasakan keupayaan anggota dalam menguasai perundangan negara lantaran cabaran semasa dan ancaman moden yang mendepani pasukan penguat kuasa itu ketika ini.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin berkata, ia perlu seiring usaha melengkapkan pasukan PDRM dengan aset, peralatan dan senjata canggih serta terkini.


"Oleh yang demikian, bagi memperolehi pendedahan dan perkongsian yang lebih global dan terkini, PDRM harus mempertingkatkan lagi penyertaan anggota serta pegawai PDRM dalam latihan, kursus atau persidangan yang dianjurkan bukan hanya di dalam negara malahan di peringkat antarabangsa.


"Kolaborasi dan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa yang dijalinkan oleh PDRM selama ini mampu meletakkan pasukan keselamatan negara ini sebaris dengan pasukan keselamatan dari negara luar seperti Scotland Yard, Royal Military Police United Kingdom dan Hong Kong Police Force," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.


Jelas beliau, penerapan nilai disiplin dan integriti perlu dititikberatkan dalam pembinaan sahsiah anggota PDRM bagi membina pasukan penguatkuasaan undang-undang yang kukuh dan utuh.


"Selain itu, untuk meningkat prestasi pasukan, semua anggota PDRM harus mempunyai sifat 'sense of belonging' kepada pasukan dan rasa tanggungjawab yang tinggi kepada amanah yang digalas.


"InsyaAllah, berbekalkan niat yang ikhlas dan kerjasama berpasukan yang jitu, saya yakin dan percaya keupayaan pasukan PDRM dalam memelihara kedaulatan dan keamanan negara akan dapat terus dipertingkatkan serta nama baik PDRM akan kekal harum dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia," ujarnya.


Muhyiddin pada masa sama merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM terutama yang telah bertungkus lumus berkhidmat sewaktu pandemik COVID-19.


"Lebih membanggakan, walaupun hampir seluruh kekuatan telah dikerahkan untuk penugasan OP COVID-19, PDRM tetap berjaya mengimbangi keutamaan perkhidmatan pasukan memerangi jenayah serta mengekalkan rasa selamat dalam kalangan rakyat sekaligus memastikan keamanan negara.


"Mereka adalah antara 'the real frontliners' yang telah bertungkus lumus mengekang penularan COVID-19," katanya.


Perdana Menteri sebelum itu memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 15 pegawai kanan dan 525 anggota yang turut melibatkan 350 pelatih Pulapol.


Hadir sama adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - AA


bottom of page