• Arissa

Perkembangan PICK, isu pengangguran jadi tumpuan di Parlimen hari ini

14 September 2021

KUALA LUMPUR: Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), masa depan doktor kontrak, isu pengangguran dan pemalsuan sijil digital vaksinasi antara tumpuan utama pada hari kedua mesyuarat pertama penggal keempat parlimen ke-14, hari ini.


Menurut aturan urusan mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu disusuli sesi ahli-ahli Parlimen mengemukakan persoalan penjelasan lanjut dan cadangan sebelum dijawab menteri-menteri berkenaan.


Antara topik yang bakal diketengahkan ialah isu penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri, terutama di Sarawak dan langkah kerajaan untuk memastikan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada program PICK.


Sidang kali ini juga akan menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada 27 September, disusuli sesi pembahasan bermula 28 September hingga 4 Oktober.


Mesyuarat pertama bagi tahun ini juga dijadual berakhir pada minggu kelima dengan urusan majlis berkaitan Rang Undang-undang (RUU) dan urusan lain kerajaan pada 11 dan 12 Oktober depan.