• newsatmy

Perkhidmatan 'park-and-dine' dalam kereta langgar SOP - Polis Sarawak

23 Mei 2021

KUCHING: Polis Sarawak memandang serius mengenai inisiatif baharu pengusaha makanan yang menyediakan perkhidmatan park-and-dine dalam kenderaan di negeri itu.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail menegaskan perkhidmatan itu tidak dibenarkan malah ia melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan boleh dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa.


“Ini (perkhidmatan) adalah tidak mematuhi SOP.. cuma bawa pulang (take away) sahaja dibenarkan. Menyediakan makanan untuk makan di dalam kereta bukan dikategorikan sebagai perkhidmatan bawa pulang.


“Aktiviti ini boleh dikompaun kerana tidak patuhi SOP. Ingin saya tegaskan bahawa aktiviti melayan pelanggan dengan membawa makanan untuk dimakan dalam kenderaan (sendiri atau kenderaan yg disediakan oleh restoran) dan mengambil semula bekas makanan dari pelanggan bukan dikategorikan sebagai bawa pulang,” tegasnya kepada Astro AWANI pada Ahad.


Terdahulu, baru-baru ini tular di media sosial mengenai inisiatif baharu park-and-dine yang menggantikan dine-in di restoran ekoran SOP mengekang penularan COVID-19 di Sarawak.


Tambah Aidi, beberapa premis makanan di Kuching turut dikenal pasti melaksanakan kaedah sama.


Sehubungan itu, Aidi berkata, walaupun ia disifatkan pendekatan atau inisiatif yang diusahakan peniaga tetapi SOP tidak dibenarkan dine-in perlu difahami dengan jelas.


-Astro Awani