top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Permohonan jaminan anak Shah Rukh Khan ditolak, Aryan dihantar ke Penjara Arthur

10 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Mahkamah Mumbai pada Sabtu menolak permohonan jaminan ke atas anak pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan, dalam kes melibatkan penyalahgunaan dadah.


Aryan Khan, 23, akan terus ditahan di bawah perintah penjagaan mahkamah (judicial custody) dan dihantar ke Penjara Arthur di Mumbai untuk menghabiskan hujung minggunya.


Dalam situasi tersebut, tertuduh boleh dihantar ke penjara dan pihak berkuasa memerlukan kebenaran daripada pihak mahkamah untuk melakukan soal siasat.


Memetik laporan portal Money Control, Ketua Majistret Metropolitan, R M Nerlikar berkata, permohonan jaminan ditolak kerana dia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut.


Tambahnya lagi, hanya mahkamah khas yang boleh mendengar dan meluluskan permohonan tersebut.


Pihak Narcotics Control Bureau (NCB) sebelum ini juga membantah dengan menyatakan hanya mahkamah khas yang boleh mempertimbangkan permohonan jaminan melibatkan kes penyalahgunaan dadah dan bahan psikotropik.


Terdahulu, Aryan ditahan bersama tujuh yang lain termasuk dua wanita oleh NCB di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai pada Ahad.


Menurut The Times of India, NCB turut merampas 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan lebih 1.3 juta lakh rupee.


Ketika serbuan, Aryan dilaporkan bersama dua rakannya iaitu pelakon, Arbaz Seth Merchant dan pereka fesyen, Munmun Dhamcecha.


Lima lagi individu yang ditahan terdiri daripada Nupur Satija, Ishmeet Chadha, Mohak Jaiswal, Gomit Chopra dan Vikrant Chhokar.


Terdahulu pada Selasa, Aryan dihadapkan ke sebuah mahkamah di Mumbai atas dakwaan pengambilan dadah.


bottom of page