• newsatmy

Perodua lancar Aruz di Singapura

14 April 2021

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah melancarkan Aruz secara rasminya di Singapura, pasaran luar negara pertamanya.


Dalam satu kenyataan hari ini, Perodua berkata Aruz berharga S$92,999 (kira-kira RM286,409), termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan sijil hak memiliki kenderaan (COE).


Pengeluar kereta itu berkata Aruz akan dijual oleh pengedar tunggal Perodua yang sah di Singapura, Perocom Auto Pte Ltd di Ubi, Singapura.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata kehadiran Aruz di Singapura merupakan kenderaan tujuh tempat duduk pertama yang ditawarkan oleh Perodua di negara tersebut.


"Dengan jualan hampir 58,000 unit di Malaysia sejak pelancarannya pada 2019, Perodua Aruz merupakan kenderaan utiliti sukan paling laris di Malaysia pada 2019 dan 2020.


"Kami berharap dapat berkongsi ruang yang luas, tahap keselamatan yang tinggi, serba boleh, praktikal dan cekap bahan api dengan jiran selatan kita," katanya.


Selain Singapura, Perodua turut mengeksport ke Brunei, Sri Lanka, Mauritius, Seychelles, Fiji dan Indonesia.


-- BERNAMA