top of page
  • newsatmy

PERSEDAR pula umum tarik diri dari PSM

23 Mei 2021

IPOH: Persatuan Sepaktakraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR) menjadi anggota terbaharu yang menarik diri sebagai ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) selepas persatuan kebangsaan itu disingkirkan daripada Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).


Presidennya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, keputusan yang berkuat kuasa serta merta itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk PERSEDAR semalam bagi memastikan kelangsungan pembangunan sukan sepaktakraw negara.


Dalam masa sama, katanya, PERSEDAR menyokong usaha penubuhan persatuan badan induk negara yang baharu bagi memastikan kelangsungan sukan sepaktakraw terus maju ke hadapan.


“PERSEDAR mengambil maklum dan memandang serius akan keputusan yang telah dibuat okeh ASTAF berhubung penyingkiran PSM sebagai ahli gabungannya pada 20 Mei 2021.


“Penyingkiran ini secara tidak langsung akan menjejaskan sukan sepaktakraw negara,” katanya dalam kenyataan malam tadi.


Sebelum ini, empat persatuan iaitu Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Persatuan Sepaktakraw Negeri Johor (PSTJ), Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (Pestak) mengumumkan menarik diri daripada PSM selepas ASTAF menggantung sementara PSM daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan berkenaan berkuat kuasa 28 April lepas.


Abdul Puhat berkata, PERSEDAR melahirkan penghargaan kepada PSM serta kepimpinannya atas usaha dan bakti yang telah ditaburkan kepada sukan sepaktakraw negara sejak penubuhannya.


-Astro Awani

bottom of page