top of page
  • newsatmy

Pertanian dan Perladangan: Membuka Peluang Kepada Golongan Muda

Arissa

Siapa sangka industri sawit yang dahulunya tidak dihiraukan kini menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dan memberi manfaat banyak kepada pekebun-pekebun kecil yang berani menceburi penanaman sawit walaupun berdepan banyak cabaran.


Penglibatan golongan belia dalam bidang pertanian dan perladangan amat digalakkan untuk memperkasa produktiviti industri tersebut sekali gus dapat meningkatkan hasil pengeluaran di negara ini


Selain membuka peluang pekerjaan kepada golongan itu, negara ini memerlukan kredibiliti anak muda bagi memajukan industri berkenaan memandangkan sumber pengeluaran pertanian dan perladangan dilihat semakin berkurangan namun permintaan terus meningkat.


Seorang anak muda, Muhammad Aiman bin Isa, atau lebih dikenali dengan panggilan Ude yang berasal dari Benut, Pontian mengambil keputusan untuk membantu ayahnya mengusahakan kebun sawit milik keluarganya.


Walaupun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perisian Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan juga merupakan seorang anak ternama, beliau tidak terus mendongak ke langit dan sentiasa merendah diri.


Ude berkata, minatnya terhadap industri pertanian dan perladangan ini terbit apabila beliau menyedari sumber pendapatan utama keluarganya ialah pertanian iaitu kelapa sawit.


"Saya juga lihat dalam industri pertanian ni kebanyakannya dipelopori oleh golongan yang lebih berusia, jadi saya sebagai anak muda mengambil peluang ini untuk menimba pengalaman daripada mereka dan juga memajukan industri kepada insudtri yang lebih maju dan lebih berteknologi tinggi," tambahnya lagi.


Ketika ditanya tentang kenaikan harga sawit terkini, Ude berkata sebagai seorang pekebun kecil dan dari golongan muda, beliau agak gembira dengan kenaikan harga sawit yang diumumkan kerajaan.


"Saya rasa gembira la sebab sebelum ni harga sawit hanya boleh mencecah sehingga RM400 untuk satu tan. Tapi sekarang naik sebanyak RM780 untuk satu tan, jadi perbezaan itu amat besar la bagi kami,"


"Tambahan pula, walaupun raya kali ini tidak dapat beraya bersama adik-beradik yang lain kerana situasi Covid-19 yang melanda negara kita sekarang, tapi dengan berita kenaikan harga sawit ini sedikit sebanyak dapatlah mengubat duka di hati kami,"


"Tapi untuk satu tan bila dah tolak baja, gaji pekerja, Alhamdulillah kami dapat untuk satu kebun dalam RM400-500 juga la," katanya lagi.


"Alhamdulillah juga ditempat saya buah tak melawas, jadi pengeluaran sawit agak bagus."


Beliau juga turut menzahirkan rasa kesal terhadap rusuhan jalanan membakar suar dan menaikkan kain rentang bertulis 'kerajaan gagal' di Parit Raja Batu Pahat beberapa hari lalu.



Amat malang sekali apabila kudrat dan semangat kumpulan anak muda ini dimanipulasikan oleh pihak tertentu untuk melakukan perbuatan yang melanggar batas perundangan.


Sepatutnya mereka mencontohi anak muda seperti Ude yang menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti berfaedah seperti membantu keluarganya di Kebun Sawit milik keluarganya.


Ude turut memberi pandangannya terhadap Undi18.


"Rakyat Malaysia telah dianggap sebagai dewasa pada usia 18 tahun di sisi undang-undang. Ini bermaksud, orang muda berusia 18 tahun telah boleh menandatangani kontrak dan dihakimi sebagai orang dewasa di mahkamah. Jika orang muda berusia 18 tahun sudah boleh memikul risiko dan tanggungjawab sebegini, adakah patut kita menolak hak mereka untuk mengundi atas alasan, 18 tahun kecil lagi," kata beliau.


"Suara orang muda harus cukup besar untuk mempengaruhi keputusan kerajaan. Kerajaan, ahli parlimen, parti politik dan pelbagai aras kepimpinan yang lain harus hormat dan mementingkan suara orang muda, dan hal ini hanya akan terjadi jika suara pengundi muda lebih kuat"


"Dengan memberi hak mengundi seawal usia 18 tahun, orang muda akan terdedah dengan proses demokrasi dari awal. Oleh kerana mereka akan membuat keputusan politik, orang muda akan ambil kisah dan lebih melibatkan diri dengan lebih rancak di dalam hal berkaitan masyarakat dan pemerintahan negara," tambah beliau lagi.

bottom of page