• Arissa

Pertukaran Guru: "KPM akan benarkan" -Radzi Jidin

16 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membentangkan garis panduan baharu bagi permohonan pertukaran guru tidak lama lagi.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, garis panduan ini akan menggantikan Surat Pekeliling Ikhtisas 1975 Panduan bagi Pertukaran Guru-Guru.


"Dalam garis panduan baharu ini, banyak penambahbaikan yang kita perkenalkan, antaranya ialah kita akan membenarkan permohonan pertukaran guru sepanjang tahun.


"Banyak lagi penambahbaikan dalam konteks pertukaran guru ini, KPM akan memberikan penjelasan lanjut tidak lama lagi untuk menyelesaikan isu pertukaran guru telah berlarutan sekian lama.


"KPM telah meneliti dan memperhalusi dengan mendalam perkara ini bagi mendapatkan penyelesaian terbaik," katanya menerusi posting yang dimuat naik di Facebook hari ini.


Radzi berkata, beliau menerima banyak permohonan berkaitan pertukaran guru yang berharap agar permohonan pertukaran 2021 diproses seiring dengan pengambilan guru baharu secara 'one-off' yang telah diumumkan KPM.


"Sememangnya itulah hasrat KPM, iaitu sebelum kita menempatkan 18,702 orang guru baharu daripada pengambilan 'one-off' ini, kita akan cuba menyelesaikan sebanyak mungkin permohonan pertukaran untuk tahun 2021.


"Namun begitu terdapat beberapa perkara utama yang kita ambil kira dalam memertimbangkan sebarang permohonan pertukaran," tambahnya.


Kata Radzi, faktor pertama yang dipertimbangkan dalam pertukaran guru ialah kekosongan jawatan di negeri yang dipohon dan keduanya keperluan opsyen di negeri yang dipohon.


"Katakan ada kekosongan jawatan di negeri tersebut, tapi tiada kekosongan atau keperluan opsyen di negeri tersebut maka permohonan pertukaran dalam konteks ini amat sukar untuk dipertimbangkan.


"Kita sedar cabaran dihadapi guru dalam konteks permohonan pertukaran ini dan pihak KPM telah meneiliti permohonan peetukaran guru ini secara menyeluruh," jelasnya.



--PN Online