• newsatmy

Perutusan Hari Krismas: Jadikan kepelbagaian kaum, agama kekuatan bina negara - PM

Astro Awani

Disember 24, 2020 20:19 MYT



Kepelbagaian kaum dan agama di negara ini perlu dijadikan sebagai satu kekuatan untuk membina Malaysia, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin


Kepelbagaian kaum dan agama di negara ini perlu dijadikan sebagai satu kekuatan untuk membina Malaysia, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Krismas hari ini, beliau berkata, sejarah lampau menunjukkan kewujudan pelbagai kaum dan agama yang saling menghormati antara satu sama lain, merupakan sumber keutuhan dan kemajuan sesebuah tamadun.


Beliau berkata, keadaan itu dapat dilihat dalam sejarah keharmonian hubungan antara masyarakat Kristian dan Islam di Andalusia suatu ketika dulu.


“Keharmonian dan hubungan baik antara masyarakat pelbagai agama dan budaya pada ketika itu telah mendorong Andalusia mencipta kemajuan dalam pelbagai bidang,” katanya lagi.


Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kemeriahan sambutan Hari Krismas tahun ini tentu sekali berbeza kerana negara masih lagi diuji dengan situasi Pandemik COVID-19.


Beliau berkata, peluang untuk menziarahi ahli keluarga dan sahabat handai agak terhad, dan majlis rumah terbuka untuk berjumpa sanak saudara dan rakan taulan juga perlu dibuat secara sederhana.


“Bermula 7 Disember kerajaan telahpun membenarkan rakyat untuk melakukan rentas negeri dan daerah ke seluruh negara kecuali di kawasan/zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


“Nasihat saya, demi kepentingan dan kebaikan bersama, kita sambutlah secara sederhana perayaan Hari Natal kali ini dengan mematuhi garis panduan atau SOP ditetapkan,” katanya lagi.


Perdana Menteri mengingatkan rakyat Malaysia untuk terus mematuhi prosedur pengambilan suhu badan, jaga penjarakan fizikal, dan elakkan dari bersalaman, sebaliknya memadai sekadar tunduk dan letakkan tangan di dada seperti tanda hormat.


Selain itu, beliau turut mengingatkan rakyat untuk mengamalkan norma baharu lain seperti kerap mencuci tangan atau gunakan hand sanitizer serta memakai pelitup muka dengan betul.


“Bagi tuan rumah yang menerima tetamu, bersihkan rumah anda dengan kerap. Jaga mak, ayah dan ahli keluarga kita yang telah berusia atau yang kurang sihat, kerana mereka lebih berisiko untuk terdedah kepada jangkitan COVID-19.


“Bagi yang bergejala seperti demam atau selsema, duduklah di rumah. Biarlah kita ambil langkah yang lebih berhati-hati supaya kita dan orang di sekeliling kita selamat dari dijangkiti wabak COVID-19 ini,” katanya lagi.


Muhyiddin turut mendoakan para petugas barisan hadapan, anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan negara, dan rakyat Malaysia yang berada di luar negara, supaya dapat menyambut Krismas dengan penuh kegembiraan.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.