top of page
  • newsatmy

Peserta industri kewangan Islam perlu terajui ekonomi digital - CEO Bank Islam

11 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Industri kewangan Islam boleh memainkan peranan yang lebih ketara dalam ekonomi digital global dengan meneroka dan menerima guna penyelesaian teknologi baharu, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Muazzam Mohamed.


Beliau berkata menyedari pandemik COVID-19 telah mempercepat peralihan digital, peserta industri digesa supaya melaksanakan peranan utama dan mengambil tanggungjawab menerajui ekonomi digital.


"Kita perlu menjadi cekap dalam usaha tindak balas kepada peralihan digital. Kita semua perlu sentiasa ingat bahawa kita tidak seharusnya terperangkap dan gagal menyedari aliran disruptif dan teknologi baharu ini.


"Ini kerana kita enggan berubah disebabkan keselesaan atau tidak berusaha untuk cuba memanfaatkan peluang yang muncul," katanya pada sesi 'Perkembangan Terkini Perbankan Digital Islam dan Teknologi Kewangan Islam' pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-16 yang dianjurkan secara maya pada Rabu.


Beliau berkata Bank Islam menjadi bank Islam pertama di negara ini yang mewujudkan Pusat Pengalaman Digital (CDX) dan sedang berusaha meletakkan asas bagi merealisasikan jendela perbankan digital subjenama untuk memanfaatkan ekonomi digital yang sedang berkembang.


Mohd Muazzam berkata CDX tersebut akan mampu melaksanakan pembaharuan dan mendorong pencapaian baharu.


"Jendela bank digital kami seterusnya akan mengisi, bukan meniru apa yang Bank Islam lakukan. Ia akan menyediakan penyelesaian berasaskan platform, jadi lebih ramai pihak yang akan mempunyai produk patuh syariah," katanya.


Beliau berkata bank itu akan menyediakan ekosistem untuk memperkasa pihak yang kurang mendapat perkhidmatan seperti pekerja gig ekonomi, kontraktor bebas dan usahawan solo.


CEO dan Pengasas Bersama HelloGold, Robin Lee berkata langkah untuk mendigitalkan industri kewangan Islam akan memberi manfaat kepada pengguna akhir dan peserta teknologi kewangan seperti pihaknya.


"Kami ingin mencari segmen dalam landskap yang diyakini bahawa secara dasarnya kami dapat mengubah dan bersaing dengan jayanya, dengan melihat aspek ketidakcekapan atau kemampuan untuk mewujudkan akses, sekali gus emperoleh pelanggan bagi menjana keuntungan," katanya.


Beliau berkata dorongan HelloGold -- aplikasi mudah alih patuh syariah -- dalam kewangan Islam dan tradisional adalah untuk memanfaatkan peluang yang ada selain mencipta produk dan perkhidmatan yang memberi cabaran kepada penyedia perkhidmatan tradisional untuk bertindak balas.


"Mereka perlu bertindak balas kerana mereka juga melihat wujudnya peluang untuk menyertai ruang ini, yang akan mengurangkan kos serta meningkatkan margin mereka," katanya.


-- BERNAMA

bottom of page