• Arissa

Petronas Chemicals catat untung bersih 10 kali ganda kepada RM1.86 bilion

26 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Lonjakan harga produk petrokimia disokong kenaikan harga minyak mentah dan pemulihan dalam permintaan global yang kukuh menjadi pemacu kepada prestasi kewangan Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021.


Ini menyaksikan untung bersih kumpulan bagi tempoh tersebut meningkat 10 kali ganda kepada RM1.86 bilion berbanding RM186 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.


Sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan margin produk walaupun beroperasi dalam persekitaran yang sangat mencabar akibat peningkatan semula wabak COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan.


Pendapatan bagi suku kedua itu juga meningkat kepada RM5.61 bilion berbanding RM3.18 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.


Secara kumulatif, keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM3.3 bilion pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM678 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.


PCG juga mengumumkan pembayaran dividen interim sebanyak RM1.84 bilion yang merupakan 55% daripada PAT separuh pertama ini.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, kenaikan harga minyak mentah pada suku kedua 2021, digabungkan dengan kenaikan permintaan petrokimia, telah mengukuhkan harga produk dan meningkatkan margin keuntungan.


Katanya, berbanding dengan tahun sebelumnya, harga polimer dan urea masing-masing meningkat sekitar 70% dan 60%, manakala harga ammonia dan metanol meningkat 2 kali ganda.


"Model perniagaan PCG yang menumpukan kepada kecemerlangan operasi dan komersial memastikan kami memperolehi peluang pasaran sambil mengharungi gangguan rantaian bekalan global.


"Sebagai contoh, kami dapat mengoptimumkan pengeluaran untuk memenuhi keperluan pelanggan walaupun sewaktu PCG sedang menjalankan aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengenai prospek PCG, beliau menjangkakan kenaikan harga yang sederhana pada separuh kedua ini berdasarkan pencapaian yang memberangsangkan bagi separuh pertama yang mencerminkan peningkatan keseluruhan prestasi tahun ini amat menggalakkan.


"Tambahan lagi, kami akan meneruskan inisiatif termasuk langkah pengoptimuman kos bagi memaksimumkan prestasi kewangan dalam keadaan industri semasa yang kian meningkat," tambah beliau.


Menurut Sazali, keuntungan kumpulan akan terus disumbangkan oleh kapasiti pengeluaran PCG sedia ada.


Katanya, kapasiti baharu, terutama daripada fasiliti petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang, belum lagi mula menyumbang kepada keuntungan PCG tahun ini.


"Kami akan meneruskan usaha dalam memulakan operasi dengan selamat dan berjaya bagi kompleks bersepadu tersebut menjelang akhir tahun ini,” katanya.




*Berita asal di DagangNews.com