top of page
  • Writer's pictureNihaba

Petronas, ExxonMobil bekerjasama percepat hasrat capai pelepasan sifar

10 november

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (ExxonMobil) untuk meneroka peluang teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

Di bawah kerjasama itu, ia juga membantu dari segi penyahkarbonan industri huluan Malaysia selain menawarkan penyelesaian simpanan karbon dioksida (CO2) bagi rantau ini.


Dalam kenyataan semalam, Petronas berkata, syarikat-syarikat terbabit akan berkongsi data teknikal di bawah permukaan untuk membolehkan penilaian simpanan dan ciri CO2.



"Data berkaitan saluran paip, kemudahan dan telaga akan turut dikongsi bagi tujuan penilaian penggunaan semula infrastruktur sedia ada untuk pengangkutan dan penyimpanan di lokasi terpilih," katanya.

Majlis MoU tersebut yang diadakan 3 November lalu ditandatangani oleh Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli manakala ExxonMobil diwakili oleh Presiden dan Pengerusi ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, Shane Harris.


MoU berkenaan bagi menyokong usaha berterusan Petronas dalam pengeluaran secara cekap selain pengoptimuman aset minyak dan gas bagi menjana sumber untuk membiayai pertumbuhan, mempermudah kemajuan serta membolehkan syarikat itu melaksanakan usaha penyahkarbon dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Ini turut menjadi antara pelbagai usaha bagi menempatkan serta menjadikan Malaysia sebagai peneraju penyelesaian CCS di rantau ini.

Malah, Petronas turut melaksanakan langkah bagi mewujudkan portfolio yang berdaya tahan dan mampan untuk menyokong peralihan ke arah sumber tenaga berkarbon rendah sehingga sifar.


Ia termasuklah aspek pembangunan, pengujian dan rintis pelbagai teknologi pada projek luar pesisir pertama CCS yang dijadualkan bagi penerapan CO2 pada 2025.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Adif berkata, ia merupakan langkah penting bagi membuka peluang serta potensi CCS di Malaysia menerusi penggunaan teknologi dan inovasi selain berpotensi membantu Malaysia mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 biarpun dalam landskap perubahan tenaga.

“Petronas dan ExxonMobil menjalin hubungan yang lama dan menyaksikan kejayaan pelbagai kerjasama serta usaha niaga antara kedua-duanya baik di Malaysia dan luar negara.

“Kami berbangga dengan usaha bersama ExxonMobil dan berharap dapat mencapai cita-cita bersama bagi penyampaian penyelesaian tenaga bersih dan jaminan tenaga,” katanya

.

Sementara itu, Presiden Penyelesaian Karbon Rendah ExxonMobil, Joe Blommaert pula berkata, syarikat akan terus meneroka peluang di Asia Tenggara membabitkan projek penangkapan dan penyimpanan karbon berskala besar yang berpotensi memberi impak amat ketara bagi sektor yang mencatat pelepasan tinggi.

"Dengan kerjasama bersama dan dasar yang direka dengan baik, kami boleh menggunakan keupayaan kami untuk membangunkan projek yang memajukan teknologi boleh dipercayai, selamat dan sedia untuk digunakan pada skala yang boleh mengurangkan pelepasan di seluruh Malaysia dengan ketara," jelas beliau.-Astro Awani

Comments


bottom of page