• Hanna

Petronas perkasa modal insan lebih berkemahiran digital mendepani transisi tenaga

22 Jun 2021

KUALA LUMPUR - Tidak mustahil suatu hari nanti harga minyak akan menurun dan terus menurun.


Sebagai syarikat yang secara tradisinya berteraskan minyak dan gas, Petronas menyedari keperluan melakukan perubahan.


Seiring dengan transisi dunia ke alam digital, begitu juga dengan tenaga yang perlu berganjak dari kebergantungan kepada hidrokarbon kepada sumber baharu yang lebih bersih, cekap dan lestari.


Agenda tersebut kini menjadi perjuangan baharu Petronas, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.


“Apabila kami memacu transisi tenaga ini dan perlu untuk terus memberi tumpuan kepada bisnes teras, saya merasakan perlunya dibawa bakat-bakat baharu ke depan.


"Ia untuk memikirkan semula bagaimana cara menyampaikan tenaga dan solusi kepada pengguna kami dalam cara yang paling bersih dan mematuhi segala agenda kelestarian kita.


“Untuk berkembang, kita memerlukan set pemikiran yang baharu. Cara lama yang membawa kita ke sini hari ini tidak dapat membawa kita ke depan,” katanya.


Beliau yang melepasi usia setahun dilantik menggalas posisi itu menekankan, Petronas tidak lagi boleh terus statik menjadi entiti penyedia bekalan ketika pengguna sudah semakin bijak membuat pilihan dan pihak berkuasa semakin cerewet dalam memberi lesen pengoperasian.


Ketika pandemik COVID-19 memaksa kakitangannya bekerja dari rumah secara mobil, keupayaan mereka untuk terus memberikan hasil kerja yang memuaskan dilihat satu peluang untuk memperkasakan modal insannya.


Keterpaksaan tenaga kerja menggunakan segala teknologi hari ini, untuk bekerja dari mana-mana sahaja, secara langsung telah mendorong pergerakan peralihan ke dunia digital.


Maka, tenaga kerja perlu dilengkapkan dengan set kemahiran baharu untuk mendepani dunia baharu ini.


“Telah dinyatakan bahawa sasaran kami iaitu 80 peratus daripada kakitangan kami dilengkapi dengan kebolehan digital tertentu.


“Jadi, saya bersama Ketua Pegawai Digital saya telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bahawa angka itu boleh dicapai menerusi satu akademi digital yang turut memberikan latihan asas analitik, sekurang-kurangnya.


“Kita perlu bentuk kumpulan saintis data, di mana kita boleh mencerna cara untuk menjana pendapatan dalam cara ekonomik yang lebih sistematik tapi dalam kerangka masa yang paling pendek,” katanya.


Sesuatu yang ketika ini dilaksanakan sebagai langkah keselamatan untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak, dalam tak sedar, bekerja secara mobil juga mengurangkan kadar penghasilan karbon, yang semestinya menjadi amalan Petronas sebagai peneraju tenaga lestari negara.


Oleh hal demikian, Tengku Muhammad Taufiq menyeru supaya syarikat berkaitan kerajaan yang lain turut menggalas tanggungjawab sama dengan memastikan tenaga kerja mereka bersiap untuk dunia digital.