- newsatmy
Pfizer mohon kanak-kanak 5-11 tahun divaksin
20 Oktober

Syarikat farmaseutikal, Pfizer-BioNTech mengemukakan permohonan kepada Health Canada untuk mendapatkan kebenaran penggunaan vaksin Covid-19 terhadap golongan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.
“Ini merupakan permohonan pertama diterima oleh Health Canada bagi penggunaan vaksin Covid-19 terhadap golongan usia yang lebih muda,” jelas kenyataan yang dimaklumkan oleh syarikat dan kerajaan Kanada menerusi kenyataan.
Permohonan kebenaran itu berdasarkan data ujian klinikal membabitkan 2,268 kanak-kanak dalam kumpulan umur tersebut dengan dos dikurangkan menjadi 10 mikrogram bagi setiap suntikan.
Jumlah dos diperuntukkan bagi kanak-kanak adalah tiga kali lebih rendah berbanding dos standard.
Menurut syarikat berkenaan, jumlah itu merupakan dos pilihan bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.
Vaksin Pfizer-BioNTech yang sama juga diluluskan bagi golongan berusia 12 tahun ke atas di Kanada.
Sementara itu, Health Canada memaklumkan pihaknya hanya akan memberi kebenaran penggunaan vaksin Covid-19 sekiranya semua data kajian saintifik yang dikemukakan mengesahkan manfaat mengatasi risiko bagi golongan tersebut.
Kerajaan Kanada juga menyatakan syarikat pengeluar vaksin lain sedang menguji keberkesanan vaksin dibangunkan mereka terhadap kanak-kanak dari kumpulan umur yang berbeza.
Awal bulan ini, makmal Pfizer dan BioNTech membuat permohonan yang sama bagi golongan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Amerika Syarikat (AS).
Banyak negara memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada golongan remaja dari umur 12 tahun ke atas, namun hanya sebilangan kecil negara yang vaksinasi di bawah usia itu. – AFP
Pfizer mohon kanak-kanak 5-11 tahun divaksin