top of page
  • newsatmy

Piala Malaysia: Jaringan minit akhir nyalakan peluang Sabah ke suku akhir

7 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Jaringan minit akhir oleh pemain gantian, Mohamad Sahrizan Saidin berjaya membantu Sabah FC untuk mencerahkan peluang ke suku akhir selepas mencatat kemenangan berharga 2-1 ke atas Kelantan FC dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia 2021 semalam.


Kemenangan sulung diperoleh skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu sudah semestinya menjadikan perebutan slot ke suku akhir semakin sengit apabila mereka kini berada di tangga ketiga kumpulan selepas terikat lima mata dengan Petaling Jaya (PJ) City FC, yang tumpas kepada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam satu lagi perlawanan malam tadi.


Aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu menyaksikan jaringan jarak jauh 40 meter yang cukup cantik oleh pemain pertahanan Kelantan Che Mohamad Safwan Hazman Che Hassan, gagal mengekang kemaraan Sabah yang bingkas memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan penalti pemain veteran Mohd Amri Yahyah selang seminit kemudian, untuk menjadikan kedudukan kekal 1-1 sehingga babak pertama tamat.


Bersambung babak kedua, Sabah terus meningkatkan tempo permainan dengan melancarkan serangan demi serangan ke kubu pertahanan pelawat sehinggalah pemain tengah Mohamad Sahrizan muncul wira apabila menyambar bola tandukan Mohd Amri di dalam kotak penalti untuk menolak masuk gol kemenangan 'Sang Badak' pada minit ke-90.


Sementara itu, JDT terus unggul dengan rekod bersih lima kemenangan berturut-turut dalam saingan musim ini apabila mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Petaling Jaya City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


PJ City yang bermula baik sejurus perlawanan bermula mengejutkan 'Harimau Selatan' apabila kecuaian tonggak pertahanan Adam Nor Azlin dimanfaatkan penyerang V.


Ruventhiran untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-11, namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila JDT bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti oleh Bergson Da Silva pada minit ke-14.


Juara Liga Super 2021 itu kemudian mendahului perlawanan apabila pertahanan import, Mauricio Dos Santos tenang menolak masuk bola muntah hasil tampanan kurang kemas penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi susulan sepakan percuma pemain sayap Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-25.


Tuan rumah sepatutnya berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit keempat masa kecederaan babak kedua, namun jaringan pemain gantian, Mohd Khyril Muhymeen Zambri dibatalkan selepas didapati menampan bola menggunakan tangan dan kedudukan itu sudah cukup melegakan JDT, yang juga pendahulu kumpulan untuk membawa pulang tiga mata penuh ke Johor Bahru.


Tugas getir dijangka menanti PJ City apabila mereka dijadual bertandang ke Stadium Likas berdepan Sabah pada perlawanan terakhir untuk menentukan pasukan yang layak ke suku akhir, Selasa ini manakala JDT akan bertembung pasukan tercorot, Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu.


Dalam pada itu, Kelantan United FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila tumpas 1-3 kepada Kedah Darul Aman FC dalam saingan Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.


Gol pertama Kedah tercipta pada minit ke-32 perlawanan menerusi sepakan deras pemain tengah Mohd Syazwan Zainon sebelum kapten Baddrol Bakhtiar menambah derita tuan rumah menerusi jaringan kedua pasukannya pada minit ke-35.


Pada separuh masa kedua, Kelantan United kemudian merapatkan defisit jaringan menerusi sepakan percuma Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi pada minit ke-72 namun Kedah kembali melebarkan kedudukan apabila pemain gantian Mohamad Fayadh Mohd Zulkifli Amin menjaringkan gol ketiga naib juara Liga Super 2021 itu pada minit ke-85.



-- BERNAMA

bottom of page