top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Piala Malaysia: JDT mara ke suku akhir

3 NOVEMBER 2021

ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan mara ke suku akhir selepas menewaskan Sabah FC 3-0 pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.


Selepas mengharungi lima perlawanan, skuad bimbingan Benjamin Mora mengutip 12 mata maksimum dan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini tatkala berbaki dua perlawanan di tempat lawan menentang Petaling Jaya City FC, Sabtu ini dan Kelantan FC pada 9 November ini.


Rentak kemenangan tuan rumah bermula seawal minit keenam menerusi Leandro Velazquez yang memanfaatkan umpanan Bergson Da Silva untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Rozaimie Rohim.


Ketika tuan rumah begitu ghairah mengasak ke kubu skuad Badak, tindakan pantas Amri Yahyah yang melakukan sepakan jauh dari jarak 30 meter pada minit ke-28 hampir memerangkap penjaga gol, Farizal Marlias yang sudah terkeluar dari posisinya tetapi bola sekadar melepasi palang gol.


Usaha Corbin Ong yang melakukan sepakan lintang pada minit ke-34 menyaksikan bola terkena tangan Ummareng Bacok di dalam kotak penalti dan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.


Bergson yang kembali menguatkan barisan serangan Harimau Selatan tidak berdepan masalah mencipta gol selepas merembat bola kencang tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Rozaimie dan meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0.


Anak didik Datuk Ong Kim Swee yang sering diasak JDT tampak beraksi dengan cara selamat bagi mengelak gawang mereka menjadi `hidangan' Harimau Selatan apabila lebih gemar `berkampung' di kawasan sendiri sekali gus menyukarkan pemain tuan rumah melakukan percubaan berbahaya.


Ketika aksi berbaki seminit, tuan rumah terlepas peluang untuk menambah jaringan apabila bola sepakan penalti yang diambil Safawi Rasid mudah ditangkap Rozaimie.


Namun dalam masa kecederaan Bergson menanduk bola sepakan percuma pemain gantian Safiq Rahim bagi memastikan tuan rumah menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-0.


Sementara itu dalam satu lagi saingan Kumpulan D, PJ City dan Kelantan FC terikat tanpa jaringan di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu.

bottom of page