top of page
  • newsatmy

Piala Malaysia: Melaka United tempah tiket suku akhir

30 Oktober

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) menempah tiket ke suku akhir saingan Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan United FC 2-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Kemenangan di hadapan penyokong sendiri itu turut mengekalkan rekod bersih tiga kemenangan berturut-turut buat anak buah Zainal Abidin Hassan dalam kumpulan C saingan bola sepak tertua negara itu.

Dalam aksi itu, Melaka United selaku tuan rumah tidak menunggu lama untuk mengancam kubu pertahanan Kelantan United.

Bagaimanapun beberapa percubaan awal yang dijelmakan Sony Norde dan Manuel Ott gagal diterjemahkan menjadi gol.

Peluang terbaik skuad Hang Tuah untuk memecah kebuntuan hadir pada minit ke-24.

Malangnya bola hantaran Adriano yang disambut Wan Zaharulnizam Wan Zakaria sekadar menggegar tiang.

Namun, gol yang dicari-cari tuan rumah akhirnya muncul pada minit ke-25.

Ia selepas Norde bijak mencuri bola hasil kesilapan pemain pertahanan Kelantan United untuk meletakkan Melaka United di depan.

Tuan rumah hampir sahaja menggadakan jaringan, enam minit selepas itu menerusi Adriano.

Namun sekali lagi, tiang menjadi pemisah buat tuan rumah selesa di depan.

Sedang Melaka rancak melakukan serangan, mereka dikejutkan dengan gol penyamaan Kelantan United pada minit ke-43.

Gol itu dijaringkan Shuhei Fukai yang berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Mohd Fitri Omar.

Keputusan 1-1 kekal selepas tamat 45 minit separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk melakukan asakan dalam kembali di depan.

Asakan demi asakan akhirnya membuahkan hasil apabila Melaka United berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-54 menerusi Adriano.

Gol itu terhasil menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti oleh penyerang import Brazil itu selepas menerima hantaran S Kumaahran.

Selepas itu, tidak banyak aksi berbahaya dipamerkan kedua-dua pasukan dengan tempo perlawanan juga diperlahankan apabila hujan mula turun.

Keputusan 2-1 kekal selepas pengadil perlawanan S Logeswaran meniupkan wisel penamat.

Kemenangan itu membolehkan Melaka United mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu kumpulan C dengan mengutip 12 mata termasuk tiga mata percuma yang diperoleh selepas Negeri Sembilan FC menarik diri dari saingan akibat pandemik COVID-19.

Selepas ini, Melaka United dijadual menentang Kelantan United sekali lagi di tempat lawan pada 1 Nov dan aksi terakhir peringkat kumpulan akan berlangsung di Stadium Hang Jebat dalam aksi bertemu Kedah Darul Aman FC, 9 Nov depan.

bottom of page