top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Piala Sudirman: Skuad muda rasai tekanan, tapi sedia galas tanggungjawab

27 September 2021

TEKANAN menghadapi Piala Sudirman tetap dirasai oleh skuad muda Malaysia di Piala Sudirman yang membuka tirai secara rasmi di Vantaa, Finland hari ini.


Kapten pasukan Lee Zii Jia yang mengakui perkara itu, berkata rakan sepasukan yang rata-rata bakal beraksi buat kali pertama di saingan itu, tiada pilihan selain menerima cabaran itu untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan demi negara.


"Tekanan tetap akan ada, tapi tiada pilihan la, kita kena tetap terima cabaran ini. Rasa semua rakan sepasukan okey, semua pun sangat seronok masa ini, suasana pun sangat bagus, jadi saya rasa bukan satu masalah yang besar untuk kita semua," katanya menerusi satu klip video.


Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D, bakal membuka kempen di kejohanan berpasukan campuran itu menentang England pada 3 petang esok (waktu Malaysia) di Energia Areena, diikuti Mesir pada Selasa dan naib juara Jepun pada Khamis.


Purata pemain Malaysia bagi edisi kali ini berusia 22 tahun, dengan pemain beregu campuran Cheah Yee See, 26, menjadi pemain paling tua.


Juara All England 2021, Zii Jia, 23, yang pernah beraksi pada edisi 2017 dan 2019, berkata beliau tidak mahu membuat rakan sepasukannya lebih tertekan dan menjadi lebih keliru dengan memberikan banyak nasihat, tetapi percaya pihak jurulatih dan pengurusan mampu melaksanakan tanggungjawab itu dengan lebih baik.


"Yang penting adalah diri sendiri, sama ada awak boleh kawal tekanan atau tidak...ini pun jalan yang saya telah lalui, terutamanya dua tahun lepas apabila saya diturunkan sebagai perseorangan pertama lelaki (berikutan persaraan Datuk Lee Chong Wei).


"Waktu itu saya agak tertekan, tetapi sebaik sahaja sudah dapat kawal tekanan itu dan dapat pengalaman, saya rasa senang. Tak perlu cakap (nasihat) banyak, mereka akan jadi matang dan kawal sendiri tekanan selepas dah ada pengalaman nanti," katanya.


Mengulas mengenai persediaannya sendiri, beliau berkata belum boleh menilai kondisi sebenar beliau kerana tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan kompetitif sejak Sukan Olimpik Tokyo dua bulan lepas, tetapi berjanji untuk menampilkan aksi yang terbaik.


Sementara itu, beliau berkata semuanya berjalan dengan baik untuk skuad negara di Vantaa dengan latihan dibenarkan sebanyak dua sesi sehari, kecuali kekangan dalam isu makanan kerana tidak boleh keluar daripada gelembung kejohanan.


Pencapaian terbaik Malaysia di Piala Sudirman ialah kejayaan melangkah ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China, manakala ketika edisi terakhir pada 2019 di Nanning, China, skuad negara terkandas di peringkat suku akhir.



-- BERNAMA

bottom of page