Arissa Azman
PIKAS berjalan lancar
26 Jun 2021

Setelah seminggu Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dilancarkan oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, permohonan yang diterima oleh pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah amat menggalakkan.
Pada 16 Jun 2021, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, memulakan lawatan program PIKAS ke Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd.
Syarikat ini telah menyambut baik pelaksanaan PIKAS dalam memastikan keselamatan pekerja mereka.
Semasa lawatan beliau ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ini, beliau dimaklumkan 2,371 pekerja akan mendapat suntikan dengan kapasiti harian 300 dos bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima.
Pada hari berikutnya 17 Jun 2021, beliau telah meninjau pelaksanaan program PIKAS di PPV Bukit Jawi Golf Resort.
Beliau diberitahu bahawa PPV-PIKAS Jawi ini merupakan kolaborasi 21 syarikat pembuatan yang berpusat di Taman Industri Batu Kawan dan menjangkakan seramai 16,402 pekerja akan divaksin sepanjang program sejak ia bermula pada 16 Jun lalu.
Selain PPV-PIKAS Bukit Jawi Golf Resort, akan ada beberapa PPV yang akan mula beroperasi di Pulau Pinang.
Antaranya, PPV di Hotel Equatorial yang akan mula beroperasi pada 28 Jun ini.
Selain itu, tiga lagi PPV akan beroperasi di Bayan Lepas melibatkan syarikat multinasional Intel Technology Sdn Bhd; Jabil Circuits Sdn Bhd dan Plexus Manufacturing Sdn Bhd manakala satu lagi di Batu Kawan iaitu Inari Amerton Berhad.
PPV ini akan mula beroperasi apabila mendapat kelulusan oleh "COVID-19 Immunization Task Force" (CITF).
"Suka untuk saya kongsikan kepada semua, setakat 16 Jun 2021 lebih 1,733 syarikat dengan jumlah pekerja seramai 280,820 orang telah mendaftar di dalam PIKAS,
"186 syarikat daripada jumlah keseluruhan itu datangnya dari pemain industri Pulau Pinang yang melibatkan 139,851 pekerja,
"Bergerak ke lawatan saya di PPV-PIKAS Pengerang, Johor, saya lihat sambutan yang amat memuaskan oleh pemain industri," ujarnya di laman media sosial Facebook miliknya.
Seramai 5,123 pekerja dijangkakan akan menerima vaksin di lokasi ini dan mereka merupakan Model 2 PIKAS iaitu PPV di Tapak Premis (On-Site).
Di samping itu, terdapat satu lagi PPV di Johor dalam persiapan untuk beroperasi iaitu di Austin International Convention Centre menggunakan PPV Penggunaan Umum (Common Use) di bawah Model 1 PIKAS.
Beliau turut diberitahu, di negeri Johor sahaja sebanyak 255 syarikat telah berdaftar dengan jumlah pekerja seramai 14,357 orang.
Oleh itu, setakat 16 Jun 2021, secara keseluruhannya sebanyak 2,082 syarikat dari seluruh negara dengan jumlah pekerja seramai 301,050 orang telah membuat permohonan menyertai program PIKAS.
"Melihat kembali semasa PIKAS mula diperkenalkan pada 12 Jun 2021, saya dimaklumkan bahawa MITI menerima permohonan lebih 500 syarikat dengan jumlah pekerja seramai 106,591 orang sahaja untuk menyertai PIKAS," tambah beliau.
Pertambahan jumlah permohonan menunjukkan peningkatan yang amat membanggakan.
Ini merupakan salah satu petunjuk kejayaan program PIKAS buat pemain industri.
Di samping itu, bagi merancakkan lagi usaha ini, MITI sedang menilai beberapa lokasi berpotensi PPV untuk program PIKAS.
Usaha ini dilipatgandakan bagi menampung permohonan syarikat yang semakin bertambah sekaligus dapat mempercepatkan proses vaksinasi bagi pekerja di dalam sektor kritikal.
Beliau berharap program ini akan dapat berjalan dengan lancar dan selesai mengikut jadual.
Oleh itu, kita dapat mempercepatkan proses negara melandaikan keluk wabak covid-19 dan ekonomi negara berjalan lancar serta rakyat boleh menikmati kehidupan seperti biasa.
--PN Online